letih tapi seronok..

Salam 'alaik...

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Alhamdulillah, dengan izinNya aku diberi kesempatan untuk mengikuti program Kem Kecemerlangan Saksiah Terpuji bersama barisan kepimpinan Politeknik Shah Alam (PSA) dan Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) sebagai fasilitator selama 2 hari 1 malam. Sepatutnya program ni berlangsung selama 3 hari 2 malam, tetapi disebabkan kami fasi-fasi dari Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) mempunyai kuliah pada hari Ahad, maka kami hanya mampu menyumbangkan tenaga selama 2 hari sahaja iaitu, hari Jumaat dan Sabtu. Alhamdulillah.

Program tersebut diadakan di Asli Adventure Camp, Ulu Langat, Selangor. Fasilitator KTD terdiri daripada 3 siswa dan 3 siswi. Sebenarnya program ni adalah anjuran Haluan Malaysia dan Politeknik. Tapi disebabkan sedikit masalah, Haluan meminta bantuan daripada KTD untuk menghantar fasilitator KTD bagi menguruskan program ni. Alhamdulillah.

Kami bertolak dari Kota Bharu dengan menaiki Bas Express Durian Burung lebih kurang pukul 9.30 malam, Khamis. Alhamdulillah, dalam pukul 6.30 pagi kami selamat tiba di Hentian Bas Kajang. Selepas solat Subuh, kak Tasnim, sahibah di sana datang mengambil kami, fasi siswi kemudian dihantar ke rumah kak Fauzan, rumah sewa sahibah. Kedatangan kami disambut dengan baik. Sampai-sampai, disajikan dengan nasi lemak + kuih-muih untuk sarapan. Siap sarapan, kakak-kakak tolong hamparkan tilam untuk kami berehat, cukup memahami yang kami ni keletihan berjalan jauh. Layanan mereka, tersangat-sangat baik. Rasa terhutang budi sangat. Terima kasih semua, kak Husna, mak cik Asiah, kak Dayah, dan lain-lain (maaf, tak ingat nama). Alhamdulillah.

Dalam pukul 11.00 pagi kami bertolak ke Asli Adventure Camp dengan bantuan kak Shajar. Sampai kat sana dalam pukul 1.00 petang. Sewaktu kami sampai, peserta tengah melakukan sesi ta'aruf di bawah seliaan kak As, pensyarah PSA. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Rasa cukup seronok berkenalan dengan para peserta. Peserta kali ni semunya hampir sebaya dengan kami. Umur mereka antara 19-23 tahun. Disebabkan ada diantara mereka yang lebih tua dari kami, kami diperintahkan untuk merahsiakan umur kami bagi mengelakkan ketidak puas hatian dari para peserta terutama sekali bagi yang lebih berumur. Jadi, bila bercakap kena guna ganti nama 'akak-adik'. Aku ni kurang biasa bahasakan diri akak, kadang-kadang tu terkeluar juga perkataan 'aku-ko'. Tapi budak-budak ni kebanyakannya 'masuk' dengan aku. Seronok sangat. Alhamdulillah.

Melalui program ni, aku dapat lihat perbezaan pemikiran antara barisan kepimpinan sekolah menengah dan barisan kepimpinan IPT. Sebelum ni aku pernah jadi fasi program kepimpinan sekolah menengah, kebanyakan peserta kurang matang. Mungkin kerana mereka berada di dalam suasana yang 'selesa', jadi mereka tidak merasa kepentingan untuk mematangkan diri. Peserta program ni pula betul-betul mempunyai pandangan yang lebih ke depan. Kebanyakan mereka terdiri dari ahli Pusat Islam (PSI), Jawatankuasa Perwakilan KAMSIS (JPK), MEKAR, dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP). Orang kuat-kuat semuanya. Alhamdulillah.

Masa Jungle Trekking, ada checkpoint untuk SWAT. Kelemahan, kekuatan, ancaman, peluang, dan perancangan yang mereka utarakan betul-betul mantap. Ops-Nahi Mungkar, Halaqah Khusus, Halaqah Umum, Program Makan Setalam, dan macam-macam lagi. Program yang kami buat kat KTD pun tak la sampai segempak ini. Biasa-biasa sahaja. Dan masalah yang biasa timbul bila buat program berunsur dakwah ni ialah, para peserta. Biasanya kalau program dakwah, peserta kebanyakannya muka-muka sama. Susah nak tarik pelajar-pelajar bermasalah untuk hadir. Kadang-kadang kalau wajibkan sekalipun, masih ada yang ponteng. Apatah lagi kalau buat terbuka. Kat KTD pun timbul masalah ni. Tapi kami di KTD dididik untuk mengutamakan dakwah khusus melebihi dakwah umum. Alhamdulillah.

Dakwah umum merujuk kepada program-program yang melibatkan peserta yang ramai seperti ceramah, motivasi, kem, dan lain-lain. Dakwah khusus pula lebih kepada membina jambatan hati antara da'ei dan mad'u. Seperti kata Saiful Islam, "they don't care how much we know untill they know how much we care". Cara terbaik untuk berdakwah ialah melalui kasih sayang. Macam mana nak berkasih sayang kalau tidak berkenalan? Kami ditekankan untuk mendekati para pelajar dan lihat mereka melalui sudut positif. Pandang mereka melalui pandangan kasih sayang. Yakin bahawa mereka adalah calon mad'u yang terbaik. Yakin mereka boleh dibentuk. Paling utama sekali, yakin dengan janji Allah. Alhamdulillah.

Proses ini mungkin mengambil masa yang amat panjang. 2, 3 tahun mungkin. Tapi ia memberi kesan yang paling mendalam. Terutama sekali bagi mereka-mereka yang baru ingin mengenali Islam yang sebenar, erti Iman yang hakiki. Perlu ada sahabat yang sentiasa menyokong dari belakang. Kalau ceramah yang betul-betul berkesan sekalipun, selama mana ia akan bertahan di dalam hati kalau tidak digilap hari-hari? 2, 3 hari boleh la. Kalau seminggu? Sebulan? Proses pembersihan hati perlu berjalan sentiasa. Kerana itu perlunya ada pendamping yang sentiasa memberi peringatan. Kalau para pemimpin, mungkin mereka mampu untuk melakukan tarbiyah dzatiyah. Tapi, untuk yang baru belajar merangkak, mana mungkin mereka mampu untuk berlari. Alhamdulillah.

Sewaktu sesi Sharing, kami gunakan sebaik mampu untuk kongsi pengalaman kami di KTD. Perkara yang paling kami tekankan ialah, Hubungan Dengan Allah (HDA). Moga-moga dengan izinNya apa yang kami sampaikan bermanfaat untuk mereka. Alhamdulillah.

Petang Sabtu, dalam pukul 5.30 petang kak Shajar datang hantar fasi yang akan menggantikan tugas kami sehingga hari Ahad. Terima kasih. Disamping tu, kak Shajar ambil dan hantar kami ke Hentian Bas Kajang. Tepat pukul 8.30 malam, Bas Sani Express bertolak membawa kami pulang ke Kota Bharu dan selamat tiba di bandar Kota Bharu Bandar Raya Islam dalam pukul 5.30 pagi. Alhamdulillah.

Walaupun sedikit menggantuk masa kuliah pagi tadi (kuliah mula pukul 8.00 pagi), rasa bersyukur sangat kerana terpilih untuk jadi fasi program. Banyak pengalaman yang dapat dikumpul. Dapat jumpa 'adik-adik' yang bakal meneruskan perjuangan kami di luar. Seronok. Moga-moga ukhwah antara kami berkekalan sehingga ke syurgaNya. Alhamdulillah.

*Allah izin, semester ni kelas paling penuh adalah hari Ahad. Alhamdulillah.
**Baru perasan, karangan panjang sangat.
***To Eja, Yati, Solehah, 25/02/89 (lupa nama), salam perkenalan =)

0 comments: