kultum (1)

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Semalam saya berkesempatan untuk mengikuti kultum di Kolej Kediaman Tanjung Chat (KKTC) yang diadakan setiap hari sabtu malam (kalau tak silap la), selepas solat Maghrib berjemaah. Alhamdulillah, banyak yang saya dapat dari majlis ilmu ini yang insya Allah sentiasa dinaungi oleh para malaikat. Ada dua kisah yang dikongsikan semalam. Yang pertama disampaikan oleh saudari Fatimah Hanisah dan yang kedua oleh saudari Siti Nabila Azman (betulkan kalau salah).

Kisah pertama adalah kisah Jiran Nabi Musa dengan Dua Ibubapanya. Saya rasa awak dah tahu cerita ni. Tapi takpe, saya nak cerita lagi sekali untuk peringatan kita berdua. Tapi saya tak pandai bercerita, dan saya sangat takut tersalah cerita lebih-lebih lagi cerita-cerita sejarah dan sirah. Jadi, cerita di bawah ni saya copy-paste dari tempat lain. Moga-moga bermanfaat untuk kita semua.

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?". Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor khinzir betina yang besar. Khinzir itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini? Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan. Khinzir itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu khinzir itu dilap sampai kering serta dipeluk cium, kemudian dihantar semula ke dalam bilik.

Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor khinzir jantan yang lebih besar. Khinzir itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap sehingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Khinzir itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa.
"Wahai saudara! Apa agama kamu?"
"Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam.
"Habis, mengapa kamu membela khinzir? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu.
"Sebenarnya kedua khinzir itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi khinzir yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi khinzir, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s.
"Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa khinzir pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti khinzir.
Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita, itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.

0 comments: