taubat

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمان الرحيم

...الحمد لله. الحمد لله.. الحمد لله

Taubat. Apa yang kita faham tentang taubat? Adakah hanya dengan mengerjakan solat sunat taubat 2 rakaat kita sudah dikira bertaubat? Adakah dengan menyebut 'astaghfirullah waatu bu ilaih' semata kita dianggap sudah bertaubat? Nyatanya taubat tidak semudah dan semurah itu andai ia tidak hadir dari hati. Jangan diperkecilkan kesan taubat yang benar-benar hadir dari hati.

Saya bukan la seorang yang arif perihal taubat, saya bukan juga ustazah yang tinggi ilmu agamanya. Saya hanya manusia biasa yang ingin berkongsi rasa. Semalam, Alhamdulillah Allah izin untuk saya bertemu dengan murabbi saya setelah sekian lama tak bersua muka.

Sejak mula bekerja, jarang-jarang sekali hati saya dapat makanan yang berkhasiat. Dan kalau dapat sekalipun, tak konsisten. Maka iman saya pun lebih kerap turun berbanding naik. Alhamdulillah, pertemuan semalam dengan Puan Mai memberi saya peluang untuk mengecas kembali bateri iman.

Banyak yang Puan Mai kongsikan, tapi kali ini saya nak sentuh perihal taubat kerana perkara ini la yang paling kuat mencengkam hati saya. Allah izin pula, 2,3 minggu kebelakangan ini memang hidup saya banyak berkait dengan perkataan taubat. Memang Allah nak tegur agaknya.

Taubat mungkin mudah untuk diungkapkan. Tetapi, untuk benar-benar merasainya dengan hati, sukar, terutama bagi hati yang mati. Maka ia perlu dipaksa kerana nafsu yang liar akan sentiasa menidakkan tindakan iman. Jalan menuju taubat bermula dengan langkah penyesalan terhadap dosa.

Andai tidak mampu untuk merasai, dosa itu satu dosa sedang kita tahu ia adalah dosa, perlu dipaksa hati untuk mengerti. Sentiasa beritahu hati, yang dosa tetap dosa. Perlu dipaksa dan dipaksa, sehingga la perasaan berdosa itu mencengkam hati, membuatkan dada kita terasa sempit. Di situ la bermulanya penyesalan terhadap dosa.

Namun, kadang-kadang kita keliru. Benarkah satu-satu perkara itu dosa. Keliru. Hati seperti terbelah dua, satu berbisik mengatakan ia dosa, satu lagi mengatakan tidak dan meminta bukti andai benar ia satu dosa. Biasanya kalau benar apa yang dilakukan itu satu dosa, bukannya tiada bukti, cuma hati dikaburi dengan bisikan iblis mengatakan yang dosa itu bukan dosa.

Beribu-ribu tahun yang lalu, baginda Nabi Muhammad SAW sudah pun meninggalkan peringatan buat kita tentang apa itu dosa. Jadi, setiap apa yang kita lakukan, recheck kembali, adakah ia satu dosa atau tidak.

Dari Nawwas bin Sam’an al-Anshari r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebajikan dan dosa. Sabda baginda, ”Kebajikan itu ialah budi pekerti yang indah. Sedangkan dosa adalah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, padahal engkau sendiri segan sekiranya perbuatanmu itu diketahui oleh orang lain.”
(HR Muslim)

Bertaubat la sentiasa, kerana kita hanya manusia biasa, yang pasti sentiasa berdosa. Moga dengan taubat yang sebenar-benar taubat itu, akan hadir ketenangan yang tidak berbelah bahagi, memadamkan keresahan di lubuk sanubari. Kembali kepada Allah adalah sebaik-baik jalan.

Rasai la taubat dengan hati, bukan hanya dengan fizikal atau pun bibir sahaja. Istighfar la melalui hati, solat sunat taubat la disertai dengan kehadiran hati. Segala-galanya perlu dari hati.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: ”Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”
(HR Bukhari dan Muslim)

0 comments: