iman

Assalamualaikum

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Semalam, Rabu, Allah izin untuk saya sertai liqa' kumpulan staf KTD. Sepatutnya Rabu minggu lepas lagi. tapi disebabkan ketua dan penolong ketua bercuti, terpaksa la ditunda ke minggu ni. Apa-apa pun, alhamdulillah. Mungkin itulah yang terbaik buat kami semua.

Modul liqa' kumpulan staf KTD dibentuk berdasarkan 5 nilai teras KTD. Keimanan dan ketaqwaan sebagai tunjang merupakan nilai teras yang pertama. Untuk memiliki keimanan yang teguh, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah mengenali Allah.

Tak banyak sangat pun bincang tentang tajuk mengenali Allah ni. Apa yang banyak ditekankan adalah, untuk mengenali Allah, kita perlu fahami dan hayati 99 Asma' Allah. Selain itu, melalui keyakinan terhadap 99 Asma' Allah juga boleh membentuk keimanan yang teguh dalam diri kita.

Contahnya, rukun iman yang keenam, keimanan kepada qada' dan qadar. Bagaimana kita mampu untuk benar-benar mengimani qada' dan qadar Allah andai kita tak tahu bahawa Dia adalah yang Maha Mengetahui, yang Maha Adil, yang Maha Bijaksana, dan yang Maha Teliti. Setiap sesuatu yang ditetapkan olehNya, pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Qada' dan qadar merupakan ketetapan dan perlaksaan Allah ke atas ke atas satu-satu perkara. Sejauh mana kita mengimani qada' dan qadar? Jom sama-sama muhasabah diri.

…Sekiranya engkau ditimpa musibah, maka JANGANLAH engkau berkata: "Sekiranya aku lakukan ini maka inilah yang akan berlaku", akan tetapi katakanlah, "apa yang menimpa aku adalah qadar Allah dan Dia berhak melakukan apa yang dikehendaki". Sesunggunya ‘kalau’ boleh membuka amalan syaitan”.
[HR Muslim]

Alhamdulillah, bila berusrah dengan golongan yang lebih tua, rasa seronok sangat. Kerana, mereka tidak merasa segan atau malu untuk bertanya, apatah lagi untuk menyuarakan pendapat. Dengan itu, liqa' yang berlangsung terasa lebih hidup kerana berlaku interaksi antara ahli bukan interaksi satu hala sahaja.

Ada seorang ahli liqa' menyuarakan pendapat, keimanan itu perlu ditanamkan dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Contoh situasi yang jarang kita manfaatkan untuk bercerita tentang kekuasaan Allah ialah, apabila si anak kecil terjatuh kerana tersadung kerusi, selalu sahaja orang dewasa akan pukul dan menyalahkan kerusi tersebut di depan si anak kecil untuk memujuknya agar tidak menangis. "Apa kerusi ni buat adik jatuh ni. Jangan nangis ye dik, akak dah marah dah kerusi tu.".

Saya rasa situasi ni memang sering terjadi disekeliling kita. Banyak keadaan kita ajar anak-anak menyalahkan barang yang menyebabkan mereka rebah atau sakit. Akhirnya, mereka membesar dalam keadaan menyalahkan apa yang ada disekeliling mereka. Apa salahnya kalau kita ajar mereka untuk kembali pada Allah, "Adik, Allah yang izin adik tersadung kaki dekat kerusi ni. Allah nak uji adik sikit supaya adik sabar, supaya adik ingat Allah.".

Mungkin kita nampak perkara seperti ini terlampau berat untuk mereka faham. Ya, mungkin mereka tidak mampu untuk faham. Tapi ingat, memori mereka sangat kuat. Sekalipun mereka tak faham, mereka tetap mampu ingat insya Allah. Anak-anak yang baru dilahirkan umpama kain putih kan. Kita la nanti yang akan mencorakkan mereka.

Itu baru satu situasi, di mana cara kebanyakan kita membentuk anak ketika mereka kecil. Masih ada banyak lagi situasi lain yang perlu kita perhati dan muhasabah bersama, sejauh mana keimanan kita terhadap qada' dan qadar Allah. Itu baru satu rukun, masih ada 5 lagi rukun iman yang perlu kita recheck kembali.



*Saya teringat kisah seorang mas'ul saya yang anaknya di'inject' ubat baru-baru ni. Apa yang membuatkan saya terharu adalah bila saya dapat tahu, si anak kecil tersebut hanya menyebut "Allah, Allah" ketika di'inject'. Rasa malu menerpa. Mungkin sebab dia masih belum reti nak sebut perkataan lain menyebabkan dia menyebut nama Allah bila sakit. Tapi, paling kurang si anak kecil itu sudah mula dicorakkan dengan corak untuk mengenali Allah.


**Adakah mampu untuk saya mendidik anak-anak saya kelak untuk mengenali Allah sedang saya masih belum cukup kenal akan Dia?

2 comments:

    ingat jugok akak cita saya tu ya^^

     

    anak2 awak? insya ALLAH.

    bukankah berusrah dengan org lebih tua adalah lebih best? maka, selalu2lah berusrah dengan anak2 awak :D

    erm, berguna juga nanti 99 nama ALLAH yg saya bg pd awk tu ye! :)