Showing posts with label pengalaman. Show all posts
Showing posts with label pengalaman. Show all posts

Belajar Sampai Faham

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Dah lama tak conteng kat blog. Keadaan diri tidak mengizinkan. Moga coretan kali ini mampu memberi daya tolak ke atas diri untuk kembali aktif menulis. Tak banyak yang saya nak coretkan. Sekadar ingin berkongsi serba-sedikit pengalaman sebagai seorang bekas pelajar diploma kejuruteraan elektronik yang kini alhamdulillah, sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda kejuruteraan elektronik (elektronik industri).

Bagi mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian atau sedang belajar di dalam bidang kejuruteraan elektronik, diharap tulisan saya kali ini dapat membantu kalian dalam pelajaran.

Sebenarnya tips yang saya mahu kemukakan ini takde la terhad untuk pelajar kejuruteraan elektronik sahaja. Cumanya, disebabkan saya tak pernah guna tips ini untuk belajar subjek-subjek lain yang bukan dalam bidang kejuruteraan elektronik, makanya saya tak tahu la samada ia sesuai atau tidak untuk digunapakai dalam bidang lain.

Tips ini bukanla hasil kajian secara formal oleh mana-mana profesor atau doktor, ia hanya lah pendapat peribadi saya. Jadi, sekiranya tips ini anda rasakan kurang bermanfaat, saya minta maaf. Saya cuma mahu berkongsi pengalaman. Ambil yang baik dan perbetulkan lah yang salah.


Tips

Kalau nak buat ulangkaji matapelajaran yang dah dipelajari, pastikan anda tahu topik mana yang anda faham dan topik mana yang anda tak faham. Tak jadi masalah besar kalau kita tak faham apa yang dipelajari. Boleh tanya. Tapi, ia akan jadi masalah besar bila kita sendiri tak tahu apa yang kita tak faham.

Kenapa? Sebab, bila kita tak tahu apa yang kita tak faham, kita akan senyap dan tak tahu nak tanya apa. Bahagian yang kita tak faham tu, akan terus dengan berada dalam keadaan ketidakfahaman. Dan, sebenarnya juga, bila kita buat ulangkaji dalam keadaan kita tak tahu yang mana kita tak faham, masa yang kita gunakan untuk ulangkaji akan jadi kurang efektif.

Subjek-subjek dalam bidang kejuruteraan elektronik kebanyakannya berkait dengan matematik. Jalan kira untuk selesaikan satu-satu solan bagi subjek kejuruteraan elektronik bukan lah sependek jalan kira ketika kita jawab soalan add math masa zaman SPM dulu-dulu. Nak selesaikan satu soalan selalunya mengambil masa 20 minit dan ke atas. Soalan sebaris, jalan kira berbelas-belas baris. Lagi tinggi kita belajar, lagi panjang jalan kira.

Makanya, kalau kita tak tahu yang mana yang kita tak faham, ketika kita buat latihan, tanpa sedar kita banyak membazir masa menyelesaikan soalan-soalan yang kita dah faham jalan kiranya tanpa menyedari bahawa masih ada topik yang kita tak faham, dan memerlukan perhatian lebih berbanding topik-topik lain.

Sekarang, macam mana nak tahu samada kita dah faham satu-satu topik itu atau belum? Ada dua cara. Cara panjang, kita cuba jawab semua soalan dalam setiap topik tanpa tengok buku/nota. Soalan yang tak boleh nak jawab, soalan tu la yang kita tak faham. Tapi, cara ni makan banyak masa sebab kita kena selesaikan setiap soalan yang ada, satu-persatu.

Cara kedua, cara mudah dan lebih menjimatkan masa. Caranya, cuba buat latihan guna minda. Tak perlu tulis, hanya baca soalan dan cuba bayangkan jalan kiranya. Kalau anda boleh bayangkan setiap jalan kira untuk soalan tersebut, maknanya anda dah faham. Jadi, anda boleh ke soalan seterusnya tanpa perlu jawab betul-betul soalan tersebut.

Bila anda jumpa soalan yang anda tak boleh nak bayangkan jalan kiranya langsung, maknanya, anda tak faham topik tersebut. Jadi, untuk soalan ini, anda perlu buka buku/nota dan cuba belajar balik. Belajar dan cuba buat latihan atas kertas sambil tengok nota. Kalau tak reti nak buat juga, pergi la tanya mereka yang lebih reti dan faham.

Bila dah faham sikit-sikit, pastikan buat latih tubi sekerap yang mampu. Buat sampai, bila tengok soalan, laju je bayangan jalan kira terlintas difikiran. Itu memang kira faham betul-betul la tu. Tapi itu tak bermakna dah tak payah buat latihan. Masih kena terus buat latihan atas kertas, cuma tak perlu kerap sangat dah. Seminggu sekali ke. Buat latihan untuk refresh balik jalan kira dan untuk kurangkan kecuaian ketika mengira. Lepas tu, boleh fokus pada topik lain yang tak faham lagi.

Belajar la sampai faham, untuk dapat ilmu, bukan untuk lulus exam semata. Ilmu tempatnya di dada, bukan di atas kertas.

Peringatan, kaedah buat latihan guna minda hanya sesuai untuk cari topik-topik yang kita tak faham daripada banyak-banyak topik yang kita belajar. Ia bukan la cara yang terbaik untuk meningkatkan kefahaman. Kalau nak tambah kefahaman, memang kena buat latihan atas kertas. Kena tulis. Apatah lagi kalau nak latih diri supaya dapat kurangkan kecuaian ketika mengira, lagi la kena buat latihan atas kertas banyak-banyak.

Jangan gunakan kaedah buat latihan guna minda terlampau kerap. Cukup sekadar seminggu sekali untuk check kefahaman topik-topik yang dah dipelajari. Kalau tak, nanti anda akan jadi malas untuk menulis dan kemungkinan berlakunya kecuaian ketika menjawab soalan atas kertas akan menjadi lebih tinggi disebabkan kurangnya latihan secara fizikal.

notahati: ah, TERpanjang la pulak~

dia

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

2011

Saya tak berminat untuk cerita panjang berkenaan dengan tahun baru sebab saya tak rasa pun macam nak sambut kehadiran tahun baru melainkan dengan rasa sangat-sangat terkilan dengan diri sendiri.

Terkilan dengan persembahan diri pada tahun 2010. Jatuh merudum, samada dari segi akademik mahupun sakhsiah. Bak kata pensyarah saya tentang pencapaian akademik saya, "awak ni bukan jatuh menggelongsor dah ni, ni macam terjun lembah terus ni".

Saya nak mulakan entry tahun baru ni dengan cerita tentang 'dia' :P


Cheese

Dia suka sangat makan cheese, sampai mak dia terpaksa letak syarat, "2 keping je" [tak pasti tuk sehari ke atau tuk sekali makan]. Mana taknya, kalau tak cakap gitu, agak-agaknya, selagi ada cheese kat rumah, selagi tu la dia dok melantak. Bahaya, bahaya.

Ini dia hantu cheese~

Tenggoleng

Korang pernah tak dengar makanan yang bernama 'tenggoleng'? Dulu, saya tak pernah kenal apa itu tenggoleng, tenggiling saya kenal la. Tapi, si dia yang terer sangat ni, dengan yakinnya memanggilkan makanan di bawah ini, 'tenggoleng'. Pantang pergi pasar malam, mesti akan kedengaran suara-suara, "nak tenggoleng".

Ouh, apa itu tenggoleng? Jom kita berkenalan dengan makanan yang bernama tenggoleng :)

Erkk.. Sebenarnya makanan ni nama ape ek? Nak kata ketam, tak.

Saya pun tak tau nak panggil apa makanan ni. Nak panggil bebola ketam, tak sfera macam bola pun. Nak panggil crab stick, lembik je makanan ni. Jadi, bila dia ni pandai-pandai bagi nama tenggoleng, saya pun ikut je la. Kan senang nak bahasakan makanan ni bila dah ada nama. Takde la susah-susah nak kena describe satu-satu ciri-cirinya, 'ala, isi ketam yang panjanng tu, yang biasa orang buat jual jadi yong tau fu tu, yang lembik-lembik tu'.


Siapakah 'dia' si gadis misteri ini?

Ini la anak sedara saya yang sulung, Hannan Aqilah Binti Ahmad Fadzli. Tahun 2011 ni umurnya insya Allah bakal mencecah 5 tahun. Comel dan cute kan dia, macam mak sedara dia yang sorang ni :P


Kesimpulan

Makan cheese banyak sangat tak baik untuk kesihatan. Lebih-lebih lagi tuk kanak-kanak macam dia ni. Sebab tu la mak dia bagi syarat tak leh makan banyak-banyak. Walaupun dia suka sangat dengan cheese tu, tapi dia tetap ikut arahan mak dia, rela dalam paksa. Sedangkan dia masih lagi kanak-kanak, tak tahu yang mana baik dan yang mana buruk, hanya sekadar mengikuti perintah si ibu yang disayangi sebab takut kena marah.

Kita pula bagaimana? Banyak perkara yang kita suka, tapi belum tentu baik untuk kita. Maka, Allah menetapkan syariatullah dan sunnatullah sebagai panduan perjalanan hidup kita menujuNya. Namun, sejauh mana kita akur akan perintahNya seperti si anak kecil tadi? Adakah kita sudah benar-benar menyintaiNya hingga kita mampu untuk tunduk akan perintahNya hanya kerana kita takut murkaNya?

Itu pengajaran dari cerita 'cheese'. Jom kita selidik cerita 'tenggoleng' pula ^^

Nama tenggoleng wujud dibibir dia kerana dia tak tahu apa nama makanan tersebut dan mak-mak sedara dia pun macam tak tahu juga. Kreatif kan. Kalau dah takde nama, reka la nama sendiri. Asalkan ada yang faham.

Bila berhadapan dengan masalah, cuba la selesaikan dengan sebaik mungkin. Cari la jalan terbaik. Jangan mengalah.

Jom kita ambil pengajaran dari apa yang berlaku disekeliling kita :)

buka mata, buka hati, buka minda

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Pagi. Otak masih beku. Tak reti nak susun ayat. Tapi hati mebuak-buak ingin bercerita. Insya Allah, moga apa yang ditulis mampu untuk difahami dengan baik. Masa on the way ke KTD tadi, terasa bahang matahari pagi, lebih-lebih lagi bila aircond kereta rosak, so terpaksa la bukak tingkap.

Bila melihat cahaya Matahari, aku teringat sedikit sebanyak ilmu astronomi yang aku dapat sewaktu program di Machang sebelum ni. Kedudukan Matahari sangat jauh. Tapi bahang panasnya terasa sampai ke Bumi. Apa bukti kedudukan Matahari sangat jauh? Kita bermula dengan pergerakan cahaya yang sangat laju. Sekiranya kita ada sebiji kereta yang mempunyai kelajuan seperti kelajuan cahaya, kita boleh mengelilingi bumi sebanyak 7 kali dalam masa 1 saat dengan menggunakan kereta tersebut. Masya Allah.

Nak katanya,betapa jauhnya kedudukan Matahari tu dari Bumi, cahaya Matahari mengambil masa selama 8.333 minit untuk sampai ke Bumi. Maknanya, cahaya Matahari yang kita tengok sekarang ni adalah cahaya Matahari 8.333 minit (atau 8 minit 20 saat) yang lalu. So, bayangkanlah sendiri. 1 saat, sama dengan 7 kali keliling Bumi. 8.333 minit, berapa kali? Kira-kira 500 kali.

Bintang-bintang yang kita tengok malam-malam tu sebenarnya seperti Matahari. Cuma kedudukannya berada sangat-sangat jauh sebab itu lah cahayanya tak terang seperti matahari. Bintang paling dekat dengan Matahari berada kira-kira 4 tahun cahaya daripada matahari. Jadi, malam-malam, tengoklah bintang di langit. Kalau rasa macam takde kerja sangat, cuba la kira. Pastu, bayangkanlah sendiri, diluar sana, agak-agak seluas mana alam ini. Kalau ikut statistik yang diperolehi di sini, galaksi Bima Sakti mempunyai kira-kira 300 billion bintang.

Galaksi Bima Sakti dan kedudukan bintang yang bernama Matahari


Di luar dari galaksi Bima Sakti, terdapat banyak galaksi-galaksi yang lain. Sila rujuk di sini dan di sini. Sekiranya kita keluar dari galaksi-galaksi ini, dari jauh galaksi-galaksi ini kelihatan seperti bintang.

Galaksi-galaksi yang dilihat dari jauh (link)


Satu-satu galaksi sekurang-kurangnya mempunyai beberapa ratus billion bintang bagi galaksi kecil dan beberapa ribu billion bintang bagi galaksi raksasa. Rujuk di sini. Subhanallah. Itu baru yang manusia jumpa. Masih banyak lagi galaksi-galaksi yang belum ditemui. Terbayangkah kita, betapa luasnya alam ciptaanNya? Allahu Akbar.

Sedikit tambahan, di bawah ni adalah gambar matahari yang diambil dari jarak dekat oleh NASA. Kalau nak tengok video pun ada. Search j dekat youtube, insya Allah jumpa. Bayangkanlah, itu baru matahari, salah satu bintang ciptaanNya. Itupun Matahari cuma berada di kelas G, iaitu kelas ke-2 paling rendah suhunya diantara bintang-bintang lain. Suhu bagi bintang di kelas G cuma 5000-6000 C. Kelas tertinggi ialah kelas O yang suhu bintang-bintang kelas O adalah 25000 C ke atas. Untuk rujukan tambahan, boleh rujuk di sini. Itu bintang, bukan neraka lagi. Sama-sama kita insaf. Sesungguhnya janji Allah itu benar.



Link Tambahan

hati...

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Dah lama blog ni kesunyian. Sebulan mendiamkan diri. Bukan tiada isi mahu diceritakan, bukan tiada berita yang mahu dikhabarkan. Banyak sangat yang ingin diluahkan. Semuanya terpendam di hati. Maaf buat sahabat-sahabat yang dikasihi, maaf seandainya ada yang terasa hati. Aku tidak pandai bercerita, aku tak pandai untuk berkongsi. Terkadang, ingin berkata-kata tapi semuanya hanya di hati. Tak terluah. Bukan ingin berpura-pura, tapi nyatanya aku juga manusia. Aku juga lemah. Jangan kau pandang aku tinggi, hatiku sakit, kerana nyatanya aku hina.

Final exam. Aku diamkan diri dari dunia siber. Cuba fokus. Walau kadang-kadang terlari dari landasan, aku cuba untuk kembali. Tamat sahaja subjek terakhir, aku bungkam. Perasaan kecewa muncul di hati. Sangat-sangat kecewa. Sungguh, aku tak boleh jawab. Daripada 4 subjek, hanya satu sahaja yang aku yakin. Aku tahu usaha aku kurang, dan aku yakin dengan janji-janji Allah,
"Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya"
QS 053:039

Aku cuba mencari kembali semangat yang kian pudar. Aku kecewa, tapi aku tidak ingin begini selamanya. Salah sendiri, terima seadanya Asmaa'. Seminggu berlalu. Emosi kian terganggu. Hati makin jauh. Aku larikan diri. Aku menjauhkan diri dari realiti. Aku cuba berfantasi. Ingin menghilangkan segala resah di jiwa. Aku hilang punca. Aku tahu, ini ujian dariNya. Tapi aku tak tahu macam mana aku perlu hadapinya. Aku mendiamkan diri. Aku biarkan masa berlalu. Terasa rugi.

Minggu kedua, aku masih mencari. Akal mula membuka ruang tuk berbicara dengan hati,

Akal: "Macam mana la agaknya result nanti? Satu paper jer yang ok, itu pun 2 jam kredit. Yang 3 jam kredit semua hancur."
Hati: "Terima la seadanya. Itu yang kamu usaha, syukurlah. Tawakkal."
Akal: "Macam mana nak terima? Pertama kali result jatuh. Entah lepas entah tak nak sambung belajar nanti. Malu pun ye gak. Yang paling geram sekali, subjek IE, siap buat nota cantik-cantik lagi. Pertama kali tuh. Sebelum masuk dewan, memang yakin insya Allah boleh buat, walaupun tak semua, tapi paling kurang boleh la tembak. Tapi bila tengok soalan, ya Allah, geramnya la dengan pensyarah yang buat soalan tu. Putar belit betul soalan. Nak tembak jawapan pun tak boleh sebab pening dengan soalan. Dah la banyak maklumat yang tak cukup. Mana la tak tertekan."
Hati: "Maknanya kamu tak faham betul-betul lagi la tu. Kalau betul-betul faham, mesti boleh buat. Tak kisah la macam mana belit pun soalan tu. Cuba check balik, belajar kerana apa sebenarnya ni? Bukan kah niat asal kerana Allah, kerana kamu cintakan ilmu? Atau sebenarnya yang kamu inginkan adalah pandangan manusia?"
Akal: "..........................................Ya Allah. Aku lupa."
Hati: "Hati-hati dengan pujukan syaitan. Kadang-kadang tanpa disedari niat kamu terpesong. Ingatkan dah betul, tapi salah sebenarnya."

Dia ingin menegur. Agar hambaNya kembali membina rasa cinta kepadaNya dalam hati. Aku lupa, mungkin kerana aku lalai dan leka dengan kesenangan dunia. Ya Allah, ingatkan lah aku sentiasa bahawa Kau adalah tuhanku, dan aku adalah hambaMu. Ya Allah, yakinkan lah aku dengan seyakin-yakinnya bahawa kematian itu satu kepastian. Aku takut akan murkaMu mungkin kerana aku yakin bahawa murkaMu boleh menyebabkan aku hilang iman dan islam. Tapi aku risau, kenapa aku tidak takutkan mati? Aku tidak mampu untuk menangis pabila memikirkan tentang kematian. Adakah kerana hati aku sudah mati?

Dia yang Maha Memberi

Slam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Kita minta ketika mahu, dan Dia memberi ketika perlu. Alhamdulillah. Tapi, sebenarnya, Dia sentiasa memberi. Apa yang kita minta, kita doa, sebenarnya Dia sentiasa menghulurkannya. Mungkin kerana kita terlalu buta dengan khidupan dunia menyebabkan kita terlepas pandang pemberiannya, mengabaikan huluran bantuanNya. Manusia lazimnya hanya melihat yang tersurat, jarang sekali memerhati yang tersirat.

Sejahat-jahat manusia sekalipun, Allah tak pernah mengabaikan ciptaanNya. Bila aku fikir-fikirkan balik, muhasabah balik, selama yang aku hidup, seteruk mana pun hubungan aku dengan Allah, Dia masih menegur, masih menyapa diriku. Zaman jahil-jahil dulu, dalam keadaan banyak sangat melakukan perbuatan mungkar dan banyak meninggalkan yang ma'ruf, terkadang, ada sedikit hadir dihati ingin berbuat baik. Secara tiba-tiba, timbul keinginan untuk perbaiki kesilapan, secebis perasaan, lintasan hati mungkin. Dari mana semua tu? Dari hati sendiri? Tak mungkin. Hati dah terlampau kotor, hitam, gelap, tak nampak cahaya.

Itulah kasih sayang Allah. Dia menyapa, memanggil kembali hambaNya yang leka dan lalai. Dia selalu memberi kepada kita cuitan peringatan, kesedaran, tapi kita sering kali membiarkan cuitan Allah tanpa berbalas, sedang tanpa disedari kita sambut ajakan syaitan dan nafsu. Contohnya, sewaktu melalui kawasan yang sedikit dikotori dengan sampah sarap, tiba-tiba muncul dihati keinginan untuk mengutip sampah tersebut. Tapi dengan cepat timbul pula bisikan, "ala, takpe la, nanti ada MPKB yang bersihkan". Kita ada 2 pilihan, pertama, menyambut sapaan Allah yang ingin memberi kebaikan kepada hambaNya, kedua, memenangkan syaitan dalam hati kita.

Itu perihal sunat. Dan aku rasa, mereka-meraka yang tak solat pun, mesti Allah cuit juga hati mereka. Kadang-kadang tu mesti ada timbul keinginan nak solat, cuma mungkin kerana mereka tak terperasan bahawa itu adalah panggilan dari Allah. Mungkin kerana dikaburi dengan pujukan syaitan, "ah, malasla", "sikit lagi nak habis main game, dah habis nanti aku solat la", "ish, malu la, sebelum ni tak pernah solat, tiba-tiba solat lak, nanti orang tengok nanti tak pasal-pasal kena perli", dan macam-macam lagi.

Justeru para daie perlu berdakwah supaya mereka-mereka mampu untuk memilih panggilan Allah berbanding hasutan syaitan. Sedarkan mereka bahawa sesungguhnya Allah sangat-sangat menyayangi hamba-hambaNya. Mintaklah dengan Allah supaya dakwah yang kita bawa diiringi dengan sapaan dariNya.

Kirchhoff's Current Law :
=> arus yang keluar pada satu nod = arus yang masuk pada nod tersebut
=> usaha yang kita keluarkan untuk satu-satu situasi = tawakkal kepada Allah yang dimasukkan dalam hati untuk situasi yang sama

Syukran Ya Allah

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Lama sangat tak update blog. Alhamdulillah kali ni berkesempatan untuk update. Minggu-minggu lepas sedikit sibuk dengan Projek Lampu Isyarat PLC sempena Hari Terbuka KTD 2010. Masalah demi masalah yang datang sehingga sampai tahap nak KIV dulu projek ni dan ganti dengan projek lain. Tapi, semangat masih ada, keinginan masih wujud, jadi, projek PLC masih diteruskan disamping projek MicroP sebagai back-up. Maknanya, 2 projek elektronik dilakukan serentak dalam masa yang tinggal tak lebih dari 3 minggu. Haru sungguh. Dalam masa 3 minggu, kami kalut-kalut cari sponsor, komponen, jalan penyelesaian untuk projek PLC dan fikir nak buat projek apa guna MicroP.


Projek MicroP

Masalah utama untuk projek PLC ialah kami tidak memiliki PLC tambahan untuk menampung keluaran dari PLC utama. PLC utama yang kami miliki mempunyai 8 masukan dan 6 keluaran. Sedangkan kalau nak buat lampu isyarat paling-paling kurang pun memerlukan 9 keluaran iaitu bagi lampu isyarat simpag 3 (hijau, kuning, merah, bagi setiap simpang = 9). Yang kami ada cuma 4 PLC utama. Permulaannya kami ingat nak mintak sponsor PLC tambahan dari syarikat-syarikat elektronik di Malaysia. Tapi, tak jumpa.

Nak beli sendiri? Mahal. Harga PLC utama RM 600++, PLC tambahan RM 400++. Sambil-sambil buat projek MicroP, kami usahakan juga untuk selesaikan masalah pojek PLC. Kami mintak nasihat pensyarah-pensyarah elektronik lain. Kami cuba gabungkan 2 PLC utama dengan menyambungkan keluaran PLC 1 dengan masukan PLC 2. Masih lagi tak boleh sebab masukan PLC memerlukan 24V sedangkan keluaran PLC hanya 5V sahaja. Pening-pening.


4 PLC

Alhamulillah, 3 hari sebelum Hari Terbuka, kami dapat sumbangan RM 300 dari Syarikat Nukleus Berkat. Memandangkan sebelum ini kami dah dapat RM 200 dari KTD, jadi jumlah keseluruhan duit yang kami ada ialah RM 500, insya Allah mencukupi untuk kami beli PLC tambahan. Aku mintak kak Ijah untuk belikan PLC tambahan memandangkan komponen elektronik banyak kat Selangor. Tiba-tiba, tokei kedai pun tak tau PLC tu apa. Hampeh betul. Sekarang, duit dah ada, benda alah tu pula yang takde.

Kami cari pula Puan Esiana sebab dia yang belikan PLC utama tu dulu. Sekali dia cakap, nak tunggu dapat PLC dalam seminggu jugak sebab syarikat tu bila terima tempahan baru mereka cari barang-barangnya dari luar Malaysia. Pulak dah. Masa tinggal 3 hari sahaja lagi. Mana sempat nak tunggu PLC tambahan. Bincang-bincang dengan Puan Esi, akhirnya Alhamdulillah, puan bagi idea yanng cukup bernas, "Cuba awak guna relay". Aku yang tak reti pasal relay terpinga-pinga. Alhamdulillah masa tu Nia ada sekali, dia ni handal pasal komponen-komponen elektronik ni. Aku senyap dan mereka bincang berdua. Aku pening-pening lagi. Sekali, Puan Hamidah aka Mak pun join sekali. Berbincangla kami sama-sama mereka.


Relay

Lepas aku pergi beli relay, kami cuba test kat makmal boleh atau tak untuk gabungkan 2 PLC utama menggunakan relay. Lama sangat. Mula-mula cuba, tak jadi. Kali kedua, tak jadi. Ketiga dan seterusnya masih lagi tak jadi. Doa, Bincang-bincang, fikir logik, cari kat mana silap, tak jadi-jadi juga. Disaat-saat aku hampir berputus asa, Nia dan Mak masih lagi berusaha keras, Alhamdulillah, akhirnya, berfungsi juga. Bermula dari situ, Alhamdulillah, kami makin bersemangat dan berjaya menyiapkan sepenuhnya projek PLC kami pada pagi hari Jumaat, 26/03/2010.

So, Never Give Up and TRUST HIM...

sekitar result SPM dan STAM MMP

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu dapat mengekalkan kelulusan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 100%. Alhamdulillah. Aku kurang ingat nama pelajar terbaik (Habibah Hanan kalau tak silap) tapi yang pasti dia dapat 15A. Samada seluruh Kelantan atau Malaysia atau peringkat sekolah sahaja kena tunggu berita malam ni. 15A sorang, 14A sorang, 13A sorang, 12A 9 orang, dan 11A 9 orang. Itu pun kalau telinga ini tak salah dengar la sebab bising sangat-sangat budak-budak dok bersorak.

Alhamdulillah, bagi keputusan STAM pula, 5 orang pelajar terbaik MMP kesemuanya dapat Mumtaz bagi kesepuluh-sepuluh subjek. Yang paling seronok sekali, bila salah seorang daripada mereka ialah Nur Hidayah Mohd. Zawawi. Ya Allah, bahagianya hati ini bila mendengar nama Hidayah disebut sebagai pelajar terbaik STAM. Syukur sangat. Aku cuma sahabat dia sahaja, tapi bila melihat kejayaannya, hati benar-benar gembira. Agak-agaknya macam mana la perasaan mak ayah dia ye?

Sebelum ni selalu sahaja dengar ceramah, bila kita berjaya, mak ayah akan rasa gembira. Mula-mula tu tahu, percaya tapi langsung tak memberi kesan di hati sebab perihal hati ni aku tak reti nak bayangkan. Nyatanya sekarang, walaupun Hidayah tu bukan anak aku, tapi kegembiraan di hati apabila melihat kejayaannya tak terkata. Mungkin itula penanga kasih sayang. Merasa bahagia bila orang yang tersayang bahagia. Jadi, apa la nak dibandingkan kasih sayang sahabat dengan kasih sayang seorang ibu. Dan, lagi la besar kasih sayang Allah yang Maha Penyayang.

Alhamdulillah...

pengalaman...

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Petang tadi selamat tiba di Kolej Kediaman Tanjung Chat (KKTC) dari D'Pinggiran Gunung Tebu, Terengganu. Perjalan yang jauh dan amat meletihkan. Mana taknya, sumbat 6 orang satu kereta yang saiznya sederhana sahaja. En. Razali, En. Muadz, Mida, Odah, Asma' dan aku. Kami, pelajar siswi berempat duduk setakat boleh duduk jer kat belakang. Dah la betul-betul keletihan, pastu duduk pun tak selesa, memang sakit pinggang. Tapi Alhamdulillah, masih dapat sampai dengan selamat dengan izinNya. Kaki masih cukup, tangan takde yang patah, jari semua lengkap, Alhamdulillah. Susah sekejap, untuk senang kemudian.

Program di Gunung Tebu adalah Kem Kepimpinan Pengawas Sekolah Menengah Agama Kampung Laut (SMAKL) yang berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula 4 Mac sehngga 6 Mac. Programnya agak meletihkan bagi kami fasi-fasi dan juga para peserta. Macam biasa, hari pertama diisi dengan mind setting dan ice breaking. Walaupun kami lambat tiba tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Hari kedua, bangun seawal 4.30 pagi untuk qiamullail diikuti dengan solat subuh dan kemudiannnya tazkirah subuh DALAM SUNGAI. Sejuk. Lepas sarapan, aktiviti diteruskan dengan Jelajah Kepimpinan. Redah sungai dalam keadaan mata semua peserta ditutup kecuali ketua kumpulan dan bergerak dalam kumpulan. Akan tetapi, ketua kumpulan bersifat BISU. Jadi, ada sesetengah kumpulan yang peka, mereka dah bincang bahasa isyarat seperti, satu pukulan pada tangan kanan maknanya ada halangan di bawah. Bijak bijak. Lepas keluar dari sungai, masuk hutan pulak. Memandangkan jalan sedikit bahaya dan sukar, para peserta dibenarkan untuk membuka mata. Tetapi kali ni, ketua pula bersifat BUTA.

Dalam perjalan balik ke kem, setiap kumpulan ada seorang ahli yang pengsan yang perlu diusung untuk dibawa pulang. Susah. Berat. Letih. Tapi Alhamdulillah, dari situ kami dapat melihat sejauh mana kerjasama mereka. Lepas solat jumaat (zohor), sesi pembentangan SWOT. Diikuti dengan Game: Batu Permata. Hangat. Dasyat mereka-mereka ni. Bermacam-macam dalil yang keluar. Ada yang guna ayat al-Quran, ada yang guna as-Sunnah. Alhamdulillah. Mereka berdebat bukan setakat menggunakan pemikiran rasional, bahkan mereka gunakan ilmu yang mereka miliki sebaik mungkin. Tahniah.

Sebelah malam, ada sedikit ceramah dari En. Razali Maarof. Gara-gara jam laptop terlewat satu jam, pukul 12 malam baru mereka dilepaskan untuk tidur. Redha. Bagi hari ketiga, sekali lagi mereka dikejutkan pada pukul 4.30 pagi tapi kali ini untuk aktiviti War Game. Mula-mula tu, semuanya nampak layu. Tapi bila game dah mula, takde pulak yang tidur. Alhamdulillah, walapun puteri lambat sedikit untuk 'hangat', tapi semuanya berjalan lancar. Ada kumpulan yang terlampau semangat serang kumpulan lain sampai bendera kumpulan sendiri tak sedar kena curi. Kesian.

Solat subuh, tazkirah, persiapan, slot bersama Sir Irwan, sarapan, Resolusi, Kalimah Akhirah, 'Amal Jamai'e, makan tengah hari dan bersurai. Aktiviti betul-betul padat. Alhamdulillah. Moga-moga adik-adik dapat membawa pulang sebanyak mungkin pengajaran-pengajaran baik untuk dipraktikkan di sekolah nanti. Kita mulia kerana Islam.