kata-kata --> ujian. next?

Assalamualaikum

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Bila kita diuji dengan apa yang kita perkatakan, itu bukannya tanda bahawa kita lebih baik diam daripada bersuara. Ujian tersebut lebih kepada satu teguran buat kita agar lebih berhati-hati bila menyampaikan nasihat. Kerana kadang-kadang, mulut kita lantang berbicara menegur silap orang tanpa mempertimbangkan situasi atau keadaan orang tersebut.

Jangan gunakan alasan, "takut diuji dengan kata-kata sendiri" menyebabkan kita kunci mulut kita daripada menyampaikan kebenaran. Namun, berhati-hatilah ketika berkata-kata, berhikmahlah dalam menyampaikan nasihat.

Sejujurnya, saya sekarang sedang diuji dengan SOLAT. Ya, mungkin kedengaran aneh. Saya sendiri hairan, kenapa boleh jadi macam ni? Kalau solat pon tak terjaga, macam mana nak uruskan perkara-perkara lain? Syahadah adalah tapak, manakala solat pula adalah tiang utama. Kalau runtuh tiang solat, maka akan bengkok lah tiang-tiang lain.

Permulaannya, saya tak tau yang saya sebenarnya sedang diuji sehinggala saya terdengar cerita seorang sahabat saya tentang sahabatnya yang sedang diuji dengan cinta lelaki. Sedangkan sahabatnya itu dulu merupakan salah seorang dari 'orang kuat' badan dakwah sekolah. Kata sahabatnya yang lain, mungkin sahabatnya itu sedang diuji dengan kata-katanya ketika zaman sekolah dahulu.

Saya tersedar. Suatu ketika dahulu, ketika saya aktif menyertai program-program bersama pelajar sekolah menengah, nasihat yang sering saya tinggalkan buat mereka ialah, "Usaha la untuk tidak tinggalkan solat. Susah macam mana sekalipon, lewat macam mana sekalipon, usaha la juga untuk solat. Kalau yang jenis tak pernah solat sebelum ni, usaha la sekurang-kurangnya untuk solat sekali sehari. Buat sikit-sikit. Mula daripada yang senang dahulu. Solat zohor dulu ke. Paling kurang usaha la untuk solat."

Sekarang, Allah bagi saya rasa, apa yang mereka rasa (mungkin seciput cuma), betapa beratnya nak angkat badan nak pergi solat. Ya, anda boleh pandang rendah saya. Anda boleh kata, saya hanya memberi alasan diuji sedang sebenarnya memang malas nak solat pon. Anda boleh perli, "bukan main lagi tulis tentang agama, tapi solat pon malas?". Tapi hakikatnya, kalau anda tak rasa, anda takkan tahu dan anda takkan faham.

Silap saya dahulu, saya hanya memberi nasihat dengan menggunakan mulut. Tidak melalui perbuatan. Dalam keadaan saya sekarang yang sedang diuji dengan solat, saya mengharapkan agar ada manusia yang sudi tarik tangan saya, ajak pergi solat bila tiba waktu solat. Dan itu la sepatutnya tindakan yang saya laksanakan dahulu. Bukan sekadar meninggalkan nasihat di lidah sahaja.

Silap saya juga kerana terlupa untuk meminta dari Dia, agar dianugerahkan buat mereka sahabat yang mampu membantu mereka untuk menjaga solat. Ya, saya salah. Moga Allah ampuni saya, mereka dan kita semua.

Bila diuji, belajar la perbaiki kesilapan. Jangan biarkan diri terus hanyut dengan ujian dengan alasan, "aku tak mampu".