Belajar Sampai Faham

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Dah lama tak conteng kat blog. Keadaan diri tidak mengizinkan. Moga coretan kali ini mampu memberi daya tolak ke atas diri untuk kembali aktif menulis. Tak banyak yang saya nak coretkan. Sekadar ingin berkongsi serba-sedikit pengalaman sebagai seorang bekas pelajar diploma kejuruteraan elektronik yang kini alhamdulillah, sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda kejuruteraan elektronik (elektronik industri).

Bagi mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian atau sedang belajar di dalam bidang kejuruteraan elektronik, diharap tulisan saya kali ini dapat membantu kalian dalam pelajaran.

Sebenarnya tips yang saya mahu kemukakan ini takde la terhad untuk pelajar kejuruteraan elektronik sahaja. Cumanya, disebabkan saya tak pernah guna tips ini untuk belajar subjek-subjek lain yang bukan dalam bidang kejuruteraan elektronik, makanya saya tak tahu la samada ia sesuai atau tidak untuk digunapakai dalam bidang lain.

Tips ini bukanla hasil kajian secara formal oleh mana-mana profesor atau doktor, ia hanya lah pendapat peribadi saya. Jadi, sekiranya tips ini anda rasakan kurang bermanfaat, saya minta maaf. Saya cuma mahu berkongsi pengalaman. Ambil yang baik dan perbetulkan lah yang salah.


Tips

Kalau nak buat ulangkaji matapelajaran yang dah dipelajari, pastikan anda tahu topik mana yang anda faham dan topik mana yang anda tak faham. Tak jadi masalah besar kalau kita tak faham apa yang dipelajari. Boleh tanya. Tapi, ia akan jadi masalah besar bila kita sendiri tak tahu apa yang kita tak faham.

Kenapa? Sebab, bila kita tak tahu apa yang kita tak faham, kita akan senyap dan tak tahu nak tanya apa. Bahagian yang kita tak faham tu, akan terus dengan berada dalam keadaan ketidakfahaman. Dan, sebenarnya juga, bila kita buat ulangkaji dalam keadaan kita tak tahu yang mana kita tak faham, masa yang kita gunakan untuk ulangkaji akan jadi kurang efektif.

Subjek-subjek dalam bidang kejuruteraan elektronik kebanyakannya berkait dengan matematik. Jalan kira untuk selesaikan satu-satu solan bagi subjek kejuruteraan elektronik bukan lah sependek jalan kira ketika kita jawab soalan add math masa zaman SPM dulu-dulu. Nak selesaikan satu soalan selalunya mengambil masa 20 minit dan ke atas. Soalan sebaris, jalan kira berbelas-belas baris. Lagi tinggi kita belajar, lagi panjang jalan kira.

Makanya, kalau kita tak tahu yang mana yang kita tak faham, ketika kita buat latihan, tanpa sedar kita banyak membazir masa menyelesaikan soalan-soalan yang kita dah faham jalan kiranya tanpa menyedari bahawa masih ada topik yang kita tak faham, dan memerlukan perhatian lebih berbanding topik-topik lain.

Sekarang, macam mana nak tahu samada kita dah faham satu-satu topik itu atau belum? Ada dua cara. Cara panjang, kita cuba jawab semua soalan dalam setiap topik tanpa tengok buku/nota. Soalan yang tak boleh nak jawab, soalan tu la yang kita tak faham. Tapi, cara ni makan banyak masa sebab kita kena selesaikan setiap soalan yang ada, satu-persatu.

Cara kedua, cara mudah dan lebih menjimatkan masa. Caranya, cuba buat latihan guna minda. Tak perlu tulis, hanya baca soalan dan cuba bayangkan jalan kiranya. Kalau anda boleh bayangkan setiap jalan kira untuk soalan tersebut, maknanya anda dah faham. Jadi, anda boleh ke soalan seterusnya tanpa perlu jawab betul-betul soalan tersebut.

Bila anda jumpa soalan yang anda tak boleh nak bayangkan jalan kiranya langsung, maknanya, anda tak faham topik tersebut. Jadi, untuk soalan ini, anda perlu buka buku/nota dan cuba belajar balik. Belajar dan cuba buat latihan atas kertas sambil tengok nota. Kalau tak reti nak buat juga, pergi la tanya mereka yang lebih reti dan faham.

Bila dah faham sikit-sikit, pastikan buat latih tubi sekerap yang mampu. Buat sampai, bila tengok soalan, laju je bayangan jalan kira terlintas difikiran. Itu memang kira faham betul-betul la tu. Tapi itu tak bermakna dah tak payah buat latihan. Masih kena terus buat latihan atas kertas, cuma tak perlu kerap sangat dah. Seminggu sekali ke. Buat latihan untuk refresh balik jalan kira dan untuk kurangkan kecuaian ketika mengira. Lepas tu, boleh fokus pada topik lain yang tak faham lagi.

Belajar la sampai faham, untuk dapat ilmu, bukan untuk lulus exam semata. Ilmu tempatnya di dada, bukan di atas kertas.

Peringatan, kaedah buat latihan guna minda hanya sesuai untuk cari topik-topik yang kita tak faham daripada banyak-banyak topik yang kita belajar. Ia bukan la cara yang terbaik untuk meningkatkan kefahaman. Kalau nak tambah kefahaman, memang kena buat latihan atas kertas. Kena tulis. Apatah lagi kalau nak latih diri supaya dapat kurangkan kecuaian ketika mengira, lagi la kena buat latihan atas kertas banyak-banyak.

Jangan gunakan kaedah buat latihan guna minda terlampau kerap. Cukup sekadar seminggu sekali untuk check kefahaman topik-topik yang dah dipelajari. Kalau tak, nanti anda akan jadi malas untuk menulis dan kemungkinan berlakunya kecuaian ketika menjawab soalan atas kertas akan menjadi lebih tinggi disebabkan kurangnya latihan secara fizikal.

notahati: ah, TERpanjang la pulak~

Teknik Belajar (?)

Assalamualaikum

Alhamdulillah.
Alhamdulillah..
Alhamdulillah...

Bila bercerita tentang exam, perkara biasa yang menjadi topik perbincangan ialah teknik belajar secara berkesan. Bila pelajar terbaik diwawancara, soalan utama yang diajukan juga selalunya berkenaan dengan teknik belajar. Bila pihak sekolah mengadakan program untuk para pelajar, topik teknik belajar sering menjadi pilihan.

Mungkin tak semua menggunakan perkataan 'teknik belajar', tapi isi utamanya tetap sama iaitu bagaimana untuk belajar secara berkesan. Makanya, tak kira la nama program pecutan akhir ke, pecutan awal ke, pecutan tengah sekalipun, objektif utama tetap sama. Masing-masing mahu belajar secara berkesan.

Kenapa perlu belajar secara berkesan?

Pertama, jimat masa. Kedua, memori tahan lama. Ketiga, jimat tenaga. Dan lain-lain lagi yang berkenaan.

Saya mahu kongsikan satu teknik belajar secara berkesan. Bagi saya, ia sangat berkesan. Saya tak genius, tapi alhamdulillah, dengan satu teknik ini, saya mampu untuk menghadam sebaik mungkin apa yang saya pelajari. Setakat ni saya tak jumpa lagi teknik lain yang lebih berkesan daripada teknik ni.

Namanya, FOCUS.
F.O.C.U.S. --> Follow One Course Untill Success
Ya, fokus.

Tahukah anda apa itu fokus?

Fokus adalah daya minda yang tertumpu kepada satu-satu perkara dalam satu masa. Fokus mempunyai ketajaman yang tertentu mengikut aktiviti yang kita lakukan.

Disebalik setiap aktiviti harian yang kita lakukan, wujudnya fokus. Makan, minum, mandi, membaca, main game, mendengar radio, menonton tv dan lain-lain. Bezanya cuma dari segi ketajaman fokus dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti tersebut.

Ketajaman fokus ketika makan tak sama dengan ketajaman fokus ketika menonton tv. Begitu juga ketajaman fokus sewaktu belajar tak sama dengan ketajaman fokus ketika membaca novel.

Eksperimen

Kalau anda seorang yang 'hantu' tv, dan hanya makan sebab lapar maka anda boleh ambil contoh tentang makan dan mononton tv tadi.

3 jam selepas anda makan dan tengok tv, sila huraikan secara detail rancangan tv yang anda tonton dan makanan yang anda makan. Selepas 7 jam, buat lagi huraian terhadap rancangan tv dan makanan tersebut. Lepas tu, tengok huraian mana lagi detail dan yang mana lagi anda ingat, rancangan tv atau makanan.

Boleh juga anda buat perkara yang sama untuk belajar dan membaca novel. Lihat yang mana lebih lama bertahan di dalam kotak memori anda, yang lama lebih detail anda ingat. Kerana itulah kesan ketajaman fokus ke atas aktiviti harian yang dilakukan.

Persoalanya, apa yang menyebabkan ia berbeza?

Berdasarkan eksperimen yang anda lakukan ke atas diri anda, antara 2 aktiviti yang anda pilih sebagai bahan eksperimen, sila pilih satu aktiviti yang paling anda hayati dan enjoy dalam melaksanakannya.

Hipotesis yang saya ingin kemukan ialah, semakin kita hayati dan enjoy apa yang kita lakukan, semakin tajam fokus kita.

Kesimpulan untuk eksperimen di atas, saya persilakan anda untuk kemukakan ia. Bagi diri saya, hipotesis diterima. Tapi mungkin bagi diri anda berbeza hasilnya.

Tajamkan fokus anda ketika belajar melalui belajar dengan seronok.

Persoalan yang biasa timbul bila bercerita tentang belajar dengan seronok ialah, bagaimana nak fokus kalau subjek yang dipelajari itu tidak disukai dan tidak menyeronokkan?

Fokus yang datang bersama keseronokan dan penghayatan adalah fokus semula jadi, fokus yang tak perlu dipaksa. Namun, selama mana kita hanya mahu lakukan apa yang kita suka sahaja?

Kalau dibiarkan fokus itu berlegar-legar diruang keseronokan semata-mata, lama kelamaan, secara semula jadi diri kita akan mengelak untuk melakukan sesuatu yang sukar. Fokus kita hanya akan tertumpu terhadap perkara yang mudah sahaja.

Oleh itu, pentingnya latihan menajamkan fokus agar fokus kita bukan berada dalam keadaan seronok semata-mata bahkan mampu berfungsi secara tajam dalam setiap situasi.

Antara yang boleh kita lakukan untuk menajamkan fokus ialah, paksa diri untuk memberi sepenuh perhatian dalam satu-satu perkara. Fake it untill you make it. Andai mahu berada di atas, paksa la diri untuk memanjat gunung tinggi walaupun sakit.

Tahukah anda, solat juga merupakan salah satu dari 'pusat latihan' membina ketajaman fokus. Malahan, solat adalah 'pusat latihan' yang terhebat dan paling memberi kesan. Latih la diri untuk khusyuk ketika solat, insya Allah fokus di dalam diri juga akan semakin tajam.

Link tambahan untuk bagaimana melatih fokus:

iman

Assalamualaikum

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Semalam, Rabu, Allah izin untuk saya sertai liqa' kumpulan staf KTD. Sepatutnya Rabu minggu lepas lagi. tapi disebabkan ketua dan penolong ketua bercuti, terpaksa la ditunda ke minggu ni. Apa-apa pun, alhamdulillah. Mungkin itulah yang terbaik buat kami semua.

Modul liqa' kumpulan staf KTD dibentuk berdasarkan 5 nilai teras KTD. Keimanan dan ketaqwaan sebagai tunjang merupakan nilai teras yang pertama. Untuk memiliki keimanan yang teguh, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah mengenali Allah.

Tak banyak sangat pun bincang tentang tajuk mengenali Allah ni. Apa yang banyak ditekankan adalah, untuk mengenali Allah, kita perlu fahami dan hayati 99 Asma' Allah. Selain itu, melalui keyakinan terhadap 99 Asma' Allah juga boleh membentuk keimanan yang teguh dalam diri kita.

Contahnya, rukun iman yang keenam, keimanan kepada qada' dan qadar. Bagaimana kita mampu untuk benar-benar mengimani qada' dan qadar Allah andai kita tak tahu bahawa Dia adalah yang Maha Mengetahui, yang Maha Adil, yang Maha Bijaksana, dan yang Maha Teliti. Setiap sesuatu yang ditetapkan olehNya, pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Qada' dan qadar merupakan ketetapan dan perlaksaan Allah ke atas ke atas satu-satu perkara. Sejauh mana kita mengimani qada' dan qadar? Jom sama-sama muhasabah diri.

“…Sekiranya engkau ditimpa musibah, maka JANGANLAH engkau berkata: "Sekiranya aku lakukan ini maka inilah yang akan berlaku", akan tetapi katakanlah, "apa yang menimpa aku adalah qadar Allah dan Dia berhak melakukan apa yang dikehendaki". Sesunggunya ‘kalau’ boleh membuka amalan syaitan”.
[HR Muslim]

Alhamdulillah, bila berusrah dengan golongan yang lebih tua, rasa seronok sangat. Kerana, mereka tidak merasa segan atau malu untuk bertanya, apatah lagi untuk menyuarakan pendapat. Dengan itu, liqa' yang berlangsung terasa lebih hidup kerana berlaku interaksi antara ahli bukan interaksi satu hala sahaja.

Ada seorang ahli liqa' menyuarakan pendapat, keimanan itu perlu ditanamkan dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi. Contoh situasi yang jarang kita manfaatkan untuk bercerita tentang kekuasaan Allah ialah, apabila si anak kecil terjatuh kerana tersadung kerusi, selalu sahaja orang dewasa akan pukul dan menyalahkan kerusi tersebut di depan si anak kecil untuk memujuknya agar tidak menangis. "Apa kerusi ni buat adik jatuh ni. Jangan nangis ye dik, akak dah marah dah kerusi tu.".

Saya rasa situasi ni memang sering terjadi disekeliling kita. Banyak keadaan kita ajar anak-anak menyalahkan barang yang menyebabkan mereka rebah atau sakit. Akhirnya, mereka membesar dalam keadaan menyalahkan apa yang ada disekeliling mereka. Apa salahnya kalau kita ajar mereka untuk kembali pada Allah, "Adik, Allah yang izin adik tersadung kaki dekat kerusi ni. Allah nak uji adik sikit supaya adik sabar, supaya adik ingat Allah.".

Mungkin kita nampak perkara seperti ini terlampau berat untuk mereka faham. Ya, mungkin mereka tidak mampu untuk faham. Tapi ingat, memori mereka sangat kuat. Sekalipun mereka tak faham, mereka tetap mampu ingat insya Allah. Anak-anak yang baru dilahirkan umpama kain putih kan. Kita la nanti yang akan mencorakkan mereka.

Itu baru satu situasi, di mana cara kebanyakan kita membentuk anak ketika mereka kecil. Masih ada banyak lagi situasi lain yang perlu kita perhati dan muhasabah bersama, sejauh mana keimanan kita terhadap qada' dan qadar Allah. Itu baru satu rukun, masih ada 5 lagi rukun iman yang perlu kita recheck kembali.



*Saya teringat kisah seorang mas'ul saya yang anaknya di'inject' ubat baru-baru ni. Apa yang membuatkan saya terharu adalah bila saya dapat tahu, si anak kecil tersebut hanya menyebut "Allah, Allah" ketika di'inject'. Rasa malu menerpa. Mungkin sebab dia masih belum reti nak sebut perkataan lain menyebabkan dia menyebut nama Allah bila sakit. Tapi, paling kurang si anak kecil itu sudah mula dicorakkan dengan corak untuk mengenali Allah.


**Adakah mampu untuk saya mendidik anak-anak saya kelak untuk mengenali Allah sedang saya masih belum cukup kenal akan Dia?

fokus dan rajin

ada orang rajin, tapi susah nak fokus masa study.
ada orang yang mudah untuk fokus, tapi malas nak study.

mungkin kita nampak, yang mudah untuk fokus tu lebih untung.
sebab, walaupun malas, insya Allah masih boleh score.
tapi, kenyataannya, tak pun.

mereka yang untung, adalah mereka yang sudi perbaiki diri.
yang rajin, perlu didik diri untuk lebih fokus.
yang malas, perlu didik diri untuk lebih rajin.

untuk mereka yang tak reti nak fokus, tiba-tiba nak fokus, amatlah payah.
begitu juga untuk orang yang malas, nak jadi rajin, sangatla sukar.
tapi, macam biasa, tak mustahilkan?
cuma, usaha masing-masing kena la lebih.

jangan dengki bila melihat,
ada orang yang baca buku sekali dua dah boleh faham.
sebab, itu bukan kerana mereka pandai, bijak atau genius,
tapi kerana mereka mudah untuk fokus.
maka, belajarla untuk fokus.

masa zaman sekolah dulu-dulu, bila tiba sahaja musim exam,
mula la pakat-pakat dok forward sms nasihat.
antaranya, "don't study hard, but study smart".

saya nak tanya,
study hard tu macam mana ek?
study smart lak?

kalau ikut pengertian peribadi saya la kan,
study hard tu belajar sokmo-sokmo, atau dalam bahasa mudahnya, rajin.
study smart lak belajar secara berkesan, atau dalam bahasa ringkasnya, fokus.

zaman sekarang ni, banyak perkara yang perlu seiring.
tak boleh dah nak utamakan yang satu,
manakala pasangannya dibiarkan dikedudukan nombor 2.
tak boleh dah buat double-standard gitu.

contohnya,
dakwah-tarbiyah dan akademik di kampus, perlu seiring.
kualiti dan kuantiti amal ibadah, perlu seiring.

makanya,
sekarang ni, study hard dan study smart juga perlu seiring.
tak boleh fokus je tapi malas.
tak boleh rajin je tapi tak fokus.

ingat,
fokus itu bukan dari keturunan.
rajin itu bukan dari warisan.
ia adalah hasil didikan.
maka didik la diri untuk fokus DAN rajin.

bicara sang hati

Assalamualaikum

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...


apa khabar hati?
masihkah cinta itu untuk Ilahi?
atau sudah ditimbus tanah cinta duniawi?

apa khabar iman?
masihkah tetap teguh bertahan?
atau sudah runtuh akibat tusukan syaitan?

apa khabar persaudaraan?
masihkah bersisa kepedulian?
atau sudah hilang belas kasihan?

apa khabar kesatuan ummah?
masihkah berdiri utuh walau berbeza pendapat dan jemaah?
atau sudah roboh walau masih bersumberkan alQuran dan Sunnah?

. . . . . . . . . .

sedih bila melihat cinta dunia diutamakan
sedih bila melihat sang iblis dijadikan teman
sedih bila melihat persaudaraan dijadikan barang mainan
sedih bila melihat kesatuan ummah tenggelam dalam timbunan keegoan

mungkin kesedihan itu
sebenarnya ditujukan buat diri sendiri
mungkin apa yang dilihat itu
sebenarnya pantulan pada cermin diri



.:aku.si.hamba.berdosa:.