warkah terbuka dari seorang kakak

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Kuhulurkan salam sayang buat semua adik-adik yang dikasihi Allah, semoga kita semua sentiasa berada dibawah naungan redhaNya. Ya Allah, hanya Engkau yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. Adik-adik sayang, ingatlah, pergantungan hakiki hanyalah kepada Dia yang Maha Berkuasa. Jangan pernah kamu harapkan sesuatu daripada manusia, kerana kita semua serba kekurangan. Jangan juga kamu sandarkan harapan itu dibahu makhluk lain kerana,

إِنَّ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk."
-alBayyinah:007-


Dik, ingatlah kamu, kasih-sayang manusia hanya sementara. Janganlah kamu gadaikan cinta Allah semata-mata ingin mengejar keseronokan sesaat. Jangan biarkan dirimu leka dibuai nafsu. Bangunlah dari lenamu. Sampai bila kamu mahu selesa dibelai kasih-sayang manusia? Sampai bila kamu mahu menerima kebaikan dari orang lain tanpa kamu memberi kebaikan pada yang lain? Sampai bila kamu mahu bermanja-manja? Masyarakat perlukan kamu. Dunia perlukan kamu. Kamu adalah pejuang Allah. Kenapa lemah dengan kesenangan? Itu ujian untuk kamu hadapi, bukannya tempat untuk kamu beristirehat.

Syukuri dan hargai apa yang kamu miliki. Jangan meminta lebih, bila apa yang ada digenggaman masih bersisa. Sayang itu fitrahnya suci, jangan kamu kotori dengan nafsu. Apabila kamu mula menginginkan lebih daripada yang perlu, itu adalah nafsu. Apabila kamu mahu kebaikan itu hanya untukmu, itu nafsu. Apabila kamu menahan mereka daripada hak mereka untuk kepentingan kamu, itu juga nafsu. Apabila kamu dengki dengan apa yang mereka miliki, itu nafsu. Ingatlah,

Rasulullah saw. bersabda bermaksud:
“Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah harta lalu dibelanjakan hartanya itu kejalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain”.
-Riwayat Hadith al-Bukhari-


Adikku sayang, kenapa perlu ada cemburu dalam berukhwah? Dimana nilainya ukhwah fillah? Bukankah persaudaraan sesama Islam perlu dikembangkan bukannya disimpan sebagai hak peribadi? Jangan kamu lupa, manusia yang kamu sayangi itu milik Allah. Allah boleh bagi bila-bila masa, dan Dia juga boleh ambil kembali tanpa meminta. Mereka adalah hak Allah, bukan hak kamu.

Berhenti menaburkan alasan sekalipun kamu rasa kamu benar, buka mindamu, hatimu, fikir-fikirkanlah. Bukan aku ingin mengaibkan sesiapa, ini cuma warkah tebuka. Insya Allah, moga beruntung bagi sesiapa yang cuba mendalami isinya.

Ya Rahim,
Kau ikatkanlah hati-hati kami ini
dengan ikatan kasih-sayang keranaMu,
janganlah kasih kami melampaui batas
sehingga merosakkan diri kami sendiri.
Ya Waduud,
berilah kami kekuatan
untuk mencintaiMu,
melebihi cinta kami
kepada makhluk-makhlukMu.
Ya Muhaimin,
janganlah kerana kekurangan dan kelemahan kami
menyebabkan kebaikan dan kebenaran
tidak dapat sampai kepada makhluk-makhlukMu yang lain.
Ya 'Azhiim,
Kau jauhkanlah kami dari menghampiri syirik, ya Allah.
jauhkanlah kami dari menghampiri zina, ya Allah.
jauhkanlah kami dari kemurkaanMu, ya Allah.
jauhkanlah kami dari laknatMu, ya Allah
jauhkanlah kami dari azab kuburMu, ya Allah.
jauhkanlah kami dari siksa api nerakaMu, ya Allah.
Ya Mumiitu,
Kau matikanlah kami dalam iman dan Islam,
matikanlah kami dalam keadaan
beriman dan bertakwa kepadaMu.

Amin ya Rabbal alamin...

0 comments: