buat para pendokong dakwah dan tarbiyah...

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Insya Allah 4 Julai nanti akan diadakan third intake untuk diploma UTM & KTD di KTD. Moga-moga target yang ditetapkan dapat dicapai. Tahniah dan terima kasih diucapkan buat mereka-mereka yang bertungkus-lumus berusaha mencari bakal-bakal pewaris kerja dakwah dan tarbiyah di KTD samada secara langsung mahupun tidak. Doa dan usaha kalian amat-amat berharga. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Moga redha Allah sentiasa mengiringi kalian.

Sekarang musim orang sambung belajar. Universiti, kolej universiti, kolej, institut, semuanya sibuk menguruskan persediaan pengambilan pelajar baru. Bakal-bakal mahasiswa turut sama sibuk membuat persiapan diri, samada dari segi mental atau fizikal. Jangan lupa betulkan niat sentiasa, moga Allah redha.

Perlu diingat, dalam menuntut ilmu tiada istilah rugi. Kadang-kadang ada yang terasa rugi dari segi umur. Contohnya, ada yang memilih untuk ambil STAM atau STPM mungkin kerana result SPM yang kurang cemerlang, menyebabkan tak dapat masuk IPTA. Tiba-tiba lepas STAM/STPM, result masih cukup-cukup makan. Dapat tawaran ke IPTA, tapi program yang tak diminati.

Disitu sebenarnya, masih ada pilihan lain. Contohnya, boleh ambil diploma. Memang, dari segi umur terasa rugi. STAM/STPM dah makan masa 1 - 2 tahun, kalau ambil diploma, 3 tahun lagi, baru la boleh sambung ijazah. Rugi, rugi. Terasa rugi masa 1 - 2 tahun yang digunakan untuk ambil STAM/STPM. Kenapa perlu rasa rugi sebenarnya? 1 - 2 tahun itu bukannya berlalu dengan sia-sia. Ia hanya akan jadi sia-sia bila ilmu yang diberi, tapi maklumat yang diambil. Tapi, itu pun masih ada nilainya. Pengalaman selama 1 - 2 tahun tersebut, masih lagi sangat-sangat berharga.

Jangan disempitkan pilihan, jangan disempitkan pemikiran. Ramai yang terasa rugi, terasa ketinggalan, mungkin kerana kawan-kawan seusia yang lain sudah melangkah jauh, sedang kita masih lagi merangkak. Kadang-kadang, kerana terlampau mengejar yang di depan, kita tercicir apa yang ada di tangan. Penghujungnya, mungkin kita mampu untuk tiba digarisan penamat bersama rakan-rakan seusia yang lain, tapi ketika itu baru kita sedar, mereka tamat dengan bekalan yang banyak, sedang bekalan kita, sudah keciciran di tengah jalan. Itu baru sebenarnya rugi.

Biar lambat, asal selamat. Jangan dipandang sangat dunia yang sementara ini, kerana mata dunia mengukur usia sebagai masa membina kemegahan dunia. Sedang akhirat melihat usia sebagai masa untuk mengumpul bekalan pahala. Ya, kita mempunyai cita-cita. Ada yang nak jadi jurutera, doktor, peguam, akauntan dan lain-lain lagi. Tapi perlu dibetulkan niat, cita-cita itu cuma medan, isinya adalah dakwah dan tarbiyah. Yang kita ingin sampaikan, ialah dakwah dan tarbiyah. Yang kita ingin sebarkan, ialah dakwah dan tarbiyah. Yang kita ingin kutip, ialah bekalan untuk akhirat kelak.

Jadi, adakah medan dakwah dan tarbiyah itu hanya wujud bila cita-cita kita tercapai? Tidak. Medan dakwah dan tarbiyah berada dimana-mana sahaja. Namun, perlu diingat, dakwah dan tarbiyah itu nombor satu tapi akademik bukan nombor dua. Kedua-duanya perlu seiring. Usaha dan tawakkal, moga Allah redha. Jangan terasa rugi dengan masa yang berlalu selagi kita penuhi masa tersebut dengan perkara-perkara yang Allah redha.

0 comments: