ukhwahfillah itu indah~

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan di hari kiamat. Hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya:
1. Pemimpin yang adil
2. Pemuda yang masa hidupnya digunakan untuk mengabdi kepada Allah
3. Orang yang hatinya sentiasa terpaut di masjid
4. Dua orang yang saling menyayangi kerana Allah, bertemu dan berpisah keranaNya
5. Laki-laki yang diajak berbuat ma’siat oleh wanita bangsawan lagi cantik, api ia menolak dengan berkata : “Saya takut kepada Allah”
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan dirinya tidak tahu apa yang disedekahkan tangan kanannya
7. Orang yang selalu berdzikir di waktu sendirian hingga mengalir air mata."
(Hadith Sahih Bukhari)


Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
"Orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, untuk mereka singahsana daripada cahaya yang sangat indah. Mereka dicemburui oleh anbia’ dan syuhada."
(Riwayat at-Tirmizi)


Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
"Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya."
(Riwayat Al-Tabrani)


Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:
"Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya (ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu."
(Riwayat Ibnu Abi Dunya)


Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang ia sendiri suka mendapatnya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Janganlah kamu berhasad dengki antara satu dengan yang lain, dan janganlah kamu (sebagai pembeli) pura-pura menurunkan harga yang tinggi dengan tujuan memperdaya orang lain supaya membelinya dengan harga yang lebih tinggi, dan janganlah kamu benci membenci atau bermusuhan dan janganlah kamu putuskan hubungan mesra dan pulau memulaukan sesama sendiri, dan janganlah kamu (sebagai penjual) memotong jalan penjual yang lain; (janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang keji itu) tetapi hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara."
(Riwayat Muslim)


Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya."
(Riwayat Ahmad)

kepada awak yang berkenaan

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...


Maafkan saya sahabat
membiarkan awak pergi
dari jauh




saya tidak mahu




melihat awak menangis
dan saya taknak................











awak lihat saya menangis..


sahabat,
pergi mu
meneruskan langkah perjuangan
biar rebah beribu kali
asalkan tidak mengalah walau sekali
moga redha Allah sentiasa
mengiringi mu

nikmat

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Nikmat Allah. Tak terkata banyaknya. Nikmat harian kurnianNya sudah lebih daripada banyak hingga tak terhitung. Nikmat harian, nikmat yang semua makhluk dapat hatta mereka yang kafir sekalipun. Bahkan, Maha Pemurah sungguh Allah, kepada yang cuba merosakkan manusia lain pun diberi juga nikmat yang tak terhingga. Udara, nyawa, oksigen, makanan, minuman, dan lain-lain. Apatah lagi kepada mereka yang tunduk patuh pada perintahNya, Subhanallah, lagi banyak nikmat yang diberi. Ketenangan, keyakinan, keberkatan, dan lain-lain, Alhamdulillah.

Hari ni, selain nikmat harian yang saya dapat, Allah bagi saya banyak lagi nikmat tambahan yang lain. Ada sesetengah daripadanya yang saya tak sangka langsung. Sungguh, saya rasa hina. Banyak yang saya minta daripada Allah, dan semuanya Allah bagi bila saya benar-benar perlu. Alhamdulillah. Disaat, saya rasa seperti mahu menyerah kalah, mahu berhenti kerana keliru, Allah anugerahkan saya sesuatu.

Seminggu kebelakangan ni, saya benar-benar letih. Hati saya letih. Minda saya letih. Saya keliru. Dimana silap saya? Saya cuba, cuba sedaya-upaya saya untuk menjaga ukhwah yang terjalin. Saya cuba untuk mengurangkan keterasaan hati sahabat terhadap saya. Saya cuba untuk memberi perhatian kepada semua sahabat saya. Tapi, benar lah, saya hanya manusia yang penuh dengan kelemahan. Saya tidak mampu untuk berlaku adil.

Ada sahabat, sudah lama dibelenggu dengan masalah, tapi saya tak dapat untuk luangkan masa bersama dia. Saya biarkan dia sendirian. Sedih. Hanya doa yang mampu saya hulurkan. Moga Allah kuatkan dia. Ada sahabat, bakal pergi menerokai medan lain. Tapi, sudah cukup lama saya tidak luangkan masa bersama dia. Saya biarkan dia walau saya tahu, dia benar-benar mahu untuk sendirian bersama saya meski cuma seketika. Maaf. Ada sahabat, sedang berjuang untuk menguatkan diri. Tapi, selalu sahaja saya biarkan dia berjuang sendiri. Bahkan, kadang-kadang, saya menambahkan lagi beban dibahunya.

Saya, manusia lemah. Maafkan saya sahabat. Maafkan saya kerana menyakitkan hati kalian. Sungguh, saya tak sengaja. Ramai antara kalian, yang saya tidak bertanya khabar. Saya diam membisu seribu bahasa. Lama. Yang ada pun cuma bila Allah izin kita terserempak, ada la cakap sikit-sikit. Maafkan saya. Masa. Saya cuba untuk gunakan ia sebaik mungkin. Tapi, entah dimana silapnya, saya masih gagal untuk jaga hati sahabat-sahabat saya.

Rasa bersalah menghantui hati. Saya rasa keliru. Resah. 2.3 hari. Saya cuba untuk perbaiki apa yang termampu. Tapi, masih ada yang terasa hati. Saya rasa bersalah dengan mereka yang dah lama saya tak bertanya khabar dan sama-sama menyepikan diri. Saya rasa keliru dengan mereka yang saya usaha untuk memberi perhatian tetapi masih terasa hati. Sungguh saya lemah. Mungkin kerana dada terlampau sesak, penyakit 'aku kesah ape' mula menguasai hati. Saya mula malas nak layan. Saya abaikan. Hati dah sesak sangat. Mungkin ini boleh dikira putus asa kot.

Alhamdulillah, tadi, masa iftar perdana di KTD, Allah anugerahkan saya sesuatu. Nikmat yang sangat bernilai. Diambang berputus asa, Allah anugerahkan saya kekuatan. Seorang sahabat, yang sudah lama saya biarkan dia sendiri, tiba-tiba datang peluk saya. Erat. Dia meluahkan perasaan rindu. Saya terpinga-pinga. Terkejut. Sangat-sangat terkejut. Sebelum ni, saya benar-benar rasa bersalah dengan dia. Tiba-tiba, Allah izin, dia datang dengan senyuman, peluk saya. Beban di hati, seperti hilang begitu sahaja. Masya Allah, Alhamdulillah.

Nikmat. Anugerah. Pemberian daripada Allah yang Maha Esa. Banyak. Sangat banyak. Tapi, adakah kita, hambaNya yang hina, benar-benar mensyukuri segala nikmatNya? Tepukla dada, tanya iman. Adakah hari ini, kita sudah pun bersyukur walau hanya sekali? Muhasabah.

liqa' staf wanita: 250810

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

  • Ada 3 jenis golongan manusia di muka bumi ini:
  1. Hidup untuk dunia - melakukan sesuatu hanya untuk kehidupan dunia tanpa mengendahkan kehidupan di akhirat kelak. Contohnya, sepanjang hari bekerja semata-mata untuk mengumpul kekayaan dunia seperti Qarun.
  2. Yang sesat antara kehidupan dunia dan akhirat - melakukan sesuatu untuk kehidupan akhirat, tetapi tanpa disedari, apa yang dilakukan langsung tidak dipandang Allah (sesat la maknanya). Contohnya, buat banyak amal ibadah, tapi riak dan ujub.
  3. Menjadikan dunia sebagai ladang akhirat - melakukan sesuatu di dunia dan mengharapkan hasilnya bakal diterima di akhirat kelak. Contohnya, mereka yang berdakwah menyeru manusia ke jalan Allah tetapi dicaci dihina, tak merasa lemah semangat kerana yakin, hasilnya akan diterima di akhirat kelak.
Yang mana satu kita agak-agaknya??

  • Kehidupan kita di dunia ni, ibarat seperti pengembara yang berhenti rehat di perhentian. Apa yang kita buat ketika berhenti rehat? Bukankah kita mengumpul bekalan untuk meneruskan perjalanan yang seterusnya? Makan, minum, solat, buang air dan lain-lain. Semuanya itu untuk memastikan perjalan kita yang seterusnya berjalan lancar. Lama ke sekejap agak-agaknya? Rasanya sekejap je. Secara normalnya, tempoh perjalanan akan jauh lebih lama berbanding masa rehat kita.

i learn something

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Bulan Ramadhan. Kita bersahur dan kita berbuka. Sebelum berbuka, kita baca doa. Tapi, bila dah mengadap makanan, ada kita ingat Allah? ada kita berdoa?

Kita doa, mintak sesuatu dari Allah. Kita percaya, Allah akan kabulkan doa kita. Tapi, adakah kita benar-benar YAKIN?

"Grant, I heard a story about two farmers who desperately needed rain. And both of them prayed for rain, but only one of them went out and prepared his fields to receive it. Which one do you think trusted God to send the rain?

The one who prepared his fields for it.

Which one are you? God will send the rain when you ready. You need to prepare your field
to receive it."

"And if we win, we praise Him. And if we lose, we praise Him. Either way, we honor Him with our actions and our attitudes."

"I've resolved to give God everything I've got, then I'll leave the results up to him."

"God can do whatever he wants to do, however He wants to do it."

"Tell me what's impossible with God. -Nothing, Coach."

-from movie Facing the Giants (2006)-

this is the prove that Islam and Christianity came from the same source

'sengal'

Salam 'alaik

Alhamdulillah.
Alhamdulillah..
Alhamdulillah...

Kerja
tak seindah belajar
sebab
masa kerja pun
kena belajar gak
dari satu jadi dua
hurmmm...

Kadang-kadang
bosan
bukan sebab takde kerja nak buat
tapi
sebab banyak sangat
blurrr...

Nak sambung belajar
tapi
nak duk kat sini lagi
banyak yang nak kena bereskan
takpela
mana-mana pun
asalkan...

B.E.L.A.J.A.R

Perjalanan hidup
adalah 'madrasah'
cuma kita
mahu belajar
atau tidak
terpulang...

Oh
hari ni saya merapu
kenapa ye?
entah le
'bosan' gamaknya
jumpa lagi
insyaAllah...

Study vs. DnT

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Ops, maaf, terupdate jugak. Tapi takpe, berkongsi itu lebih penting daripada simpan untuk diri sendiri. Alhamdulillah, Allah izin saya terbaca sajak di bawah ni di blog seseorang. Sangat sesuai untuk kita yang bergelar mahasiswa/i. Baca sampai habis ek (^^,)v

Lia, jomlah pergi usrah
Lia, jomlah berdakwah
Lia, ummah semakin koyak
Lia, jomlah kita bangkit mengubah segalanya


Aku tidak mahu
Aku kena study
Markah semester lepas dah cukup teruk
Gara-gara dakwah, tarbiah dan program
Aku menyesal megikuti semua itu
Bosan!!
Dakwah bukan je plainly cerita rububiyah ketuhanan,tapi banyak lagi skopnya
Bukan ke islam tu syumul
Kalau nak berjaya, kena study
Waktu study, studylah
Esok kalau dah berjaya
Aku buatlah kerja dakwah tu
Kalau aku buat kerja dakwah, aku gagal dalam pelajaranku
Kan nanti aku menutup mata orang lain terhadap Islam


Lia, dakwah dan pelajaran bukan macam jongkang jongking

Jongkang jongking?
Apa kau merepek ni?


Ya, dakwah dan pelajaran BUKAN macam jongkang jongking
Bila dakwah di atas, pelajaran di bawah
Bila pelajaran di atas, dakwah di bawah
Tu bukan dakwah namanya
Dan tu bukan belajar namanya


Habis tu?

Hmm, dakwah dan pelajaran kena berkadar terus
Tak boleh inversely proportional


Apa maksud kau?

Orang yang melakukan kerja dakwah dengan ikhlas akan menemukan Allah dalam pelajarannya

Aku tidak faham

Tak pe, aku terangkan
Macam gini, bila dah berdakwah tu
Rasa senang je nak study
Bila belajar tentang jantung misalnya
Boleh bayangkan betapa hebatnya Allah ciptakan jantung
Bila belajar tentang algebra, terasa kerdilnya diri
Bila belajar tentang Hukum Boyle, terasa akrab dengan Pencipta
Kenapa?
Sebab diri tahu bahawa hukum-hukum tersebut adalah hukum Allah
Ilmu-ilmu tersebut adalah milik Allah
Rasa senang hati nak terima ilmu
Kalau orang lain study 1 jam
Dia hanya perlu study 10 minit sahaja
Sebab apa?
Sebab ada keberkatan masa dalam studynya itu


Aku tak pernah rasa semua itu
Lain tu, selama ni kau nak cakap yang aku ikut program tarbiah dan dakwah tu tak ikhlas?


Tak, itu bukan maksud aku
Cuma kena checklah sikit hati tu
Waktu buat kerja dakwah tu, ada tak berlaku tarik tali dengan Allah
Apa maksud kau tarik tali dengan Allah?
Ok, aku berikan contoh
Misalnya waktu buat kerja dakwah tu,
Terdetik tak kat hati , banyak lagi yang tidak habis belajar
Terdetik tak kat hati, assignment banyak lagi
Itulah maksudnya tarik tali dengan Allah
Ada keraguan dalam hati
Seolah-olah tidak yakin dengan janji Allah
Siapa yang menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongnya
Kita melakukan jual beli dengan Allah, tapi kita tidak bayar lagi
Kita berdoa, tapi tak de kesungguhan dalam doa kita
Kita berdakwah, tapi hati kita tiada dengan Allah


Lia dah faham
Lia kena banyak muhasabah
Lia dah study dari tadi, tapi tak masuk-masuk
Lia tahu itu maksudnya peringatan dari Allah
Lia yang tahu hukum berdakwah tidak mengerjakan kerja tersebut


Lia, sahabatku,
Seorang ibu pernah mengatakan
Aku ingin dakwah terlihat dalam setiap perbuatanku
Setiap kali aku bergaul dengan jiranku, aku ingin mereka merasakan kemanisan iman dan Islam
Setiap kali jiranku melihat kebahagian rumahtanggaku, aku ingin mereka merasakan keindahan Islam
Lia, itulah yang inginku kubentuk dalam diriku
Aku ingin setiap perbuatanku menjadi manifestasi dakwah itu sendiri
Pelajaranku, hubunganku dengan keluarga dan sahabat, segalanya adalah dakwah
Moga kita bersama dalam usaha merealisasikannya
Lia, aku ingin berkongsi dua kisah,
Pertama, mengenai kisah Assyahid Imam Hassan AlBanna
Dan kedua kisah sahabatku di Indonesia
Moga kedua-dua kisah ini dapat kita renungkan bersama
Menjadi motivasi buat kita untuk terus berada dalam mandala ini.


Lia, kau pastinya arif mengenai Assyahid Imam Hassan al-Banna. Dakwahnya menyinari hati umat manusia di saat itu. Dia berdakwah sehingga ke kawasan perkampungan di gunung-gunung yang tinggi. Semua manusia mengenalinya. Tanyakan sahaja di jalanan di saat itu, kenalkah kamu dengan Assyahid Imam Hassan Al Banna, pasti semua mengenalinya kerana kerja kerasnya di dalam perjuangan dakwah . Lia, aku akui sememangnya untuk berjaya dalam pelajaran, kita kena berusaha. Itu Sunnatullah. Tapi Lia, kemenangan Islam takkan tertegak dengan kata-kata, dengan mimpi sahaja. Untuk memastikan kejayaan dakwah, kita juga kena berusaha. Itu juga adalah Sunnatullah. Kemenangan Islam memerlukan pengorbanan dari pengikutnya.
Lia, aku kongsikan pembacaanku dalam buku Detik-detik Hidupku karangan Assyahid Imam Hassan Al Banna:

--Allah, dengan sifat ArRahaman dan ArRahimNya, memberi ketenangan dan kepuasan kepada hambaNya yang beriman apabila Dia mahukan segala sesuatu urusan/ perkara Dia akan mempermudahkan hambaNya itu untuk mencapainya. Pada malam sebelum ujian nahu, saya telah bermimpi. Di dalam mimpi tersebut, saya sedang berada dalam sebuah perahu bersama-sama ulama’ yang terkenal.Perahu itu sedang berlayar di Sungai Nil. Salah seorang ulama itu menghampiri saya. Dia memakai pakaian orang-orang di pedalaman Mesir. Dia menyoal saya, “Di mana syarah (huraian) Ibnu Aqeel mengenai al-Afiyah?” Saya menjawab, “Ini dia!” Katanya, “Mari kita ulangkaji sebahagian darinya. Buka ke muka surat sekian-sekian” . Saya pun membuka ke muka surat-muka surat yang disebutkannya dan mula mengulangkaji. Kemudian saya terkejut jaga. Saya sangat gembira. Pagi esoknya saya menduduki ujian. Saya dapati kebanyakan soalan datang dari muka surat-muka surat yang saya baca di dalam mimpi tersebut. Ini semua adalah rahmat Allah. Allah telah memberi rahmat istimewa kepada saya. Mimpi yang benar adalah sumber maklumat kepada seorang Mukmin. Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam.--

Itulah rahsia kejayaan seorang Mukmin. Seorang sahabat di Indonesia pernah bercerita mengenai pelajarannya. Alhamdulillah, dia memperolehi yang terbaik.
Dia ingin mempertahankan prestasi terbaik untuk Allah, agama Allah. Di sudut lainnya, dia tidak suka mengejar dunia, bersaing untuk berasa hebat. Dia hanya ingin memberikan yang terbaik sebagai hamba Allah.

Dahulu dia bukan begitu. Dia pernah kecundang. Dia pernah bertanya kepada Allah – Ya Allah, kenapa engkau mentakdirkan prestasi yang baik buat temanku? Apakah temanku itu punya alasan yang kuat sehingga Engkau menolongnya. Aku mempunyai mimpi yang besar untuk menegakkan agamaMu melalui pergerakan dakwah. Maka aku mohon bahawa aku harus berjaya.

Lalu Allah memberitahu dirinya melalui suatu kisah sahabat yang dijamin masuk syurga, padahal seharian ibadahnya sama saja seperti sahabat yang lain. Dan ketika ditanya prinsip hidupnya, sahabat itu menjawab “Aku tak suka membanding-bandingkan apa yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya. Aku yakin Allah Maha Baik dan menjamin kebaikan untukku dalam situasi sulit atau lapang. Aku akan tetap redha kepada Allah dalam situasi apapun. Aku akan tetap bersaksi bahawa Allah adalah Robb yang Maha Esa, meskipun gunung-gunung harta itu milikku atau aku tak punya harta sedikit pun”.

Lia, saya teringat email yang pernah saya terima dari seorang kawan. Tulisannya benar-benar terkesan di hati saya. Dia bercerita tentang seorang wanita yang terkena penyakit disebabkan poliovirus semenjak kecil. Kisah ini kisah benar. Saya namakan wanita ini A. A memerlukan tongkat untuk berjalan. A tidak berapa cantik, tidak slim dan tidak tinggi. Satu sahaja keinginan A. A ingin sesiapa sahaja yang melihatnya mengucapkan Subhanallah.

Keinginan A tercapai. Bila A belajar di sekolah menengah dan berjaya, manusia yang ditemuinya mengucapkan Subahanallah. Bila A berjaya masuk ke universiti, sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah. Bila A menyudahkan pelajarannya, sekali lagi manusia mengucapkan Subhanallah. Dan sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah apabila A mengahwini seorang lelaki yang kacak dan beriman.

Orang ramai tertanya-tanya, apa yang mampu A berikan kepada suaminya. Takdir Allah menentukan yang sebaiknya. Allah mengurniakan A dan suaminya 3 orang anak yang comel dan sempurna. Sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah.
Dengan kecacatanya, A masih mampu membuat manusia mengingati Allah.


Sejarah menunjukkan kita bahawa rupa paras bukan persoalan utama. Ingat lagi tentang Abdullah bin Ummi Makhtum. Dia sahabat nabi yang buta. Dia mahu membawa panji bendera Islam. Katanya, buta menyebabkan dia tidak takut kerana dia tidak akan dapat melihat bilangan musuh. Akhirnya dia syahid. Mereka yang menemui mayatnya tidak dapat mengecamnya kerana terlalu banyak luka parah yang dialaminya. Subhanallah.

Pasti Lia ingat lagi Assyahid Sheikh Ahmad Yassin. Dia cacat. Duduk di atas kerusi roda. Tapi apa yang telah dia lakukan? HAMAS berdiri dengan izzah. Musuh menggeruninya.

Lia, kita sempurna. Ayuh lakukan sesuatu untuk Islam. Ayuh berada dalam saf perjuangan.

muhasabah

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Permulaan bulan Ramadhan adalah masa yang terbaik untuk saya muhasabah. Muhasabah hati. Adakah selama 11 bulan hati saya lalai, angkara si terkutuk iblis laknatullah atau silap saya sendiri kerana membiarkan nafsu merajai hati? Pelbagai soalan saya ajukan pada diri saya sendiri. Dan saya rasa, hampir kesemua jawapan menunjukkan, betapa selama ini, nafsu saya selalu dimanjakan.

11 bulan yang lalu, ketika iblis bebas merentasi dunia dengan izinNya, saya susah untuk bangun qiamullail. Kini, ketika iblis dirantai, tersekat langkahnya, adakah mudah untuk saya bangun di tengah malam? 11 bulan saya hidup dalam keadaan susah untuk khusyuk ketika solat, adakah dalam bulan Ramadhan ini mudah untuk saya khusyuk?

Inila masa yang terbaik untuk saya perbaiki diri, mendidik nafsu. Saya rasa, kadang-kadang nafsu pun seperti manusia, lemah bila sendirian. Ketika bulan Ramadhan inilah, iblis, rakan nafsu dipenjarakan. Sekarang, nafsu sendirian, tanpa rakan yang menghasut. Insya Allah, nafsu akan lebih mudah untuk dididik. Moga Allah beri kita kekuatan.

11 bulan yang lalu, saya rasa saya banyak mengutamakan hubungan saya dengan manusia berbanding hubungan saya dengan Allah. 11 bulan, saya banyak mengambil kesah kasih sayang terhadap manusia berbanding cinta saya kepada Allah. Saya mahu dan saya harap, Ramadhan kali ini, saya mampu untuk gunakan ia sebaik mungkin untuk saya belajar mencintai Allah melebihi cinta saya kepada makhluk-makhlukNya.

Mungkin ini entry saya yang terakhir untuk bulan Ramadhan 1431.

bila perasaan itu hadir

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak, bulan yang dimuliakan oleh Allah. Moga Allah beri kita kekuatan bagi menggunakan peluang dan anugerah ini sebaik mungkin untuk menjadi hambaNya yang sebenar-benar hamba.

Bermula roh meninggalkan jasad sehinggalah ke titian sirat, kita akan hadapi segalanya sendirian. Tiada siapa dapat membantu tanpa izinNya. Begitu juga kehidupan kita di dunia, perjuangan menegakkan agama Allah perlu diteruskan meskipun terasa seperti sendirian, seperti ditinggalkan. Ya, Allah sentiasa ada, memerhati dan menemani kita.

Tapi, kadang-kadang, tanpa kita sedari, Allah menemani kita dengan menganugerahkan sahabat yang sama-sama berjuang menegakkan panji-panji Islam di seluruh pelusuk muka bumi. Meskipun ada diantara mereka yang kita tak kenali, tapi yakinlah, kita tak sendirian dalam perjuangan ini. Sekalipun kita rebah, yakinlah, Allah takkan biarkan kita rebah selamanya.

Sunyi, sepi. Allah tahu itu. Kerana itu Dia menciptakan Hawa buat Adam. Kerana itu Dia mengajar kita erti ukhwah Islamiyyah. Biarpun jauh di mata, tetapi dekat di hati. Doa penguat ikatan hati antara kita. Kerja dakwah dan tarbiyyah ini perlu diteruskan, walaupun seorang demi seorang sahabat pergi menerokai 'pentas' perjuangan yang lain, meninggalkan kita di 'pentas' sendiri.

Ada masa, kadang-kadang kita tak tahu apa yang ingin diberi kerana kita rasa seperti kita tak miliki apa. Tetapi nyatanya, hati kita ada segala-galanya. Persoalannya cuma, bagaimana untuk mengawal hati agar terus memberi walaupun hanya sekadar senyuman. Ingat, kita hidup di dunia untuk kehidupan di akhirat. Bukannya mengorbankan kehidupan akhirat untuk kesenangan di dunia.

Maaf diatas segala kekurangan dan khilaf. Asif jiddan 'ala kullihal.

Saya rindu dengan 'pentas' dan rakan seperjuangan saya di MMP.
Saya sayang dengan 'pentas' dan rakan seperjuangan saya di KTD.
Saya teruja dengan 'pentas' dan rakan sperjuangan saya pada masa depan.

amanah

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Bermula hari ini, secara rasminya saya diberi amanah oleh Allah untuk memegang jawatan sebagai Pembantu Makmal Elektronik, Kolej Teknologi Darulnaim. Sepatutnya semalam lagi dapat surat tawaran. Tapi Allah izin ada sedikit kekangan yang menyebabkan hari ni baru dapat walaupun kat surat tawaran tu tulis 'mulai 8 Ogos 2010'. Apa-apa pun, alhamdulillah di atas peluang yang diberi oleh Allah buat diri ini untuk terus belajar dan belajar cara-cara menjadi hamba Rabbani di KTD. Ini amanah, dan amanah itu berat.

Malam tadi juga, secara rasminya saya diberi amanah oleh Allah untuk menjadi fasilitator Pembangunan Sakhsiah Terpuji (PESAT) bagi 9 orang mahasiswi KTD semester 1. Berat. Moga Allah bagi kita kekuatan untuk memikul amanah yang diberiNya sebaik mungkin.

"Ya Allah, janganla kerana kekurangan dan kelemahan kami, kebenaran dan kebaikan tidak dapat sampai kepada manusia lain. Dan jangan la kerana kekurangan dan kelemahan manusia lain menyebabkan kami membutakan mata, memekakkan telinga dari kebenaran dan kebaikan. Ya Rahman, ya Rahim."

izinkan air mata itu terus mengalir

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Kalau awak nampak saya menangis
saya mohon
jangan dirisau
biarkan saya begitu
kerana
hati ini sudah terlalu lama kering
tanpa air mata

Kalau awak nampak birai mata saya basah
saya mohon
jangan ditegur
biarkan saya begini
kerana
mungkin itu kali pertama mata saya basah
setelah berbulan-bulan kering

Kalau awak nampak saya tersendu kesedihan
saya mohon
jangan dipujuk
biarkan saya seperti itu
kerana
jarang sekali saya dapat merasai nikmat
air mata anugerahNya

Biarkan saya menangis
Izinkan saya bersedih
Sesungguhnya hati ini sudah terlalu lama gembira
Seringkali dipenuhi harapan menggunung
Saya takut
Saya risau
Jika saya berhenti menangis
Air apa yang saya mahu gunakan
untuk memadam api neraka kelak?

Saya amat takut akan MURKA-Nya
Saya amat risau akan LAKNAT-Nya
Saya takut perasan takut itu pergi
Saya risau perasaan risau itu menyepi
Ya Allah, aku merayu padaMu Rabb yang Satu,
janganlah Kau hilangkan perasaan takut dan risau itu dari dalam hatiku..

antara kita dan Rasulullah s.a.w

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Kalau Rasulullah sikit-sikit bersedekah,
kalau kita sikit je bersedekah...

Kalau Rasulullah sikit je makan,
kalau kita sikit-sikit makan...

Kalau Rasulullah sikit-sikit bekerja,
kalau kita sikit je bekerja...

Kalau Rasulullah sikit je tidur,
kalau kita sikit-sikit tidur...

Kalau Rasulullah sikit-sikit solat,
kalau kita sikit je solat...

Kalau Rasulullah sikit-sikit baca surah panjang,
kalau kita sikit je baca surah panjang...

Kalau Rasulullah sikit-sikit berjuang,
kalau kita sikit je berjuang...

Kalau Rasulullah sikit-sikit berzikir,
kalau kita sikit je berzikir...

Kalau Rasulullah sikit-sikit ujian,
kalau kita sedikit je ujian...

Kalau Rasulullah sikit-sikit berkorban,
kalau kita sikit je berkorban...

Kalau Rasulullah sikit-sikit dakwah,
kalau kita sikit je dakwah...

Kalau Rasulullah sikit-sikit berpuasa sunat,
kalau kita sikit je puasa sunnah...

Kalau Rasulullah sikit je HARTA,
kalau kita sikit-sikit HARTA...

Kalau Rasulullah sikit-sikit tahajjud,
kalau kita sikit je tahajjud...

Kalau Rasulullah sikit-sikit dhuha,
kalau kita sikit je dhuha...

Kalau Rasulullah sikit-sikit baca Qur'an,
kalau kita sikit je baca Qur'an...

Kalau Rasulullah sikit-sikit mengajarkan ilmu,
kalau kita sikit je mengajarkan ilmu...

Kalau Rasulullah sikit-sikit memaafkan,
kalau kita sikit je memaafkan...

Kalau Rasulullah sikit-sikit MENYAMPAIKAN,
kalau kita sikit je MENYAMPAIKAN...

Dan... Apa lagi eaa? Tak 'banyak' kan? 'Sikit' saja kot perbezaan kita dengan Rasulullah Muhammad SAW >_<. Mudah-mudahan tulisan ini dapat menjadi motivasi bagi kita semua, tua, muda, kaya, miskin. Semua ini hanya permainan dunia fana, di akhirat lah tempat kembali yang sebenarnya...

Amal apa yang kita nak bawa menuju ke sana?
Apakah bahagia selamanya bersama Rasulullah SAW tercinta?
Atau celaka tak terhingga beserta iblis yang derhaka?

[QS 3:85] "Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi."

marhaban ya Ramadhan

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Bahang Ramadhan kian terasa. Tak lama lagi dah. Moga Allah izinkan untuk kita semua memasuki bulan Ramadhan dalam keadaan penuh kerendahan hati. Perbanyakkan solat sunat taubat, selalukanlah beristighfar, rajin-rajinkanlah berselawat ke atas junjungan mulia Rasulullah s.a.w. Moga masih diizinkan oleh Allah yang Maha Pengasih untuk kita sama-sama merasai kemanisan dan keindahan Ramadhan kali ini. Insya Allah.

Selamat menyambut bulan Ramadhan buat semua muslimin dan muslimat di seluruh negara. Kepada yang tak berkesempatan untuk menyambut ketibaan bulan mulia bersama keluarga tersayang, jangan bersedih ya. Allah ada menemani awak. Jangan lupa call mak ayah, mohon keampunan dan restu dari mereka. Jom sama-sama kita bersihkan rumah, hias seada mungkin sebagai persediaan menyambut Ramadhan al-Mubarak. Jangan lupa juga persiapkan hati, rohani, fizikal, dan mental supaya kita dapat menggunakan sebaik mungkin peluang anugerahNya ini.

nilai

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Tadi, Alhamdulillah berkesempatan untuk singgah di Kedai Buku Banggol sekejap. Niat asal bukannya nak beli buku pun, cuma nak tolong temankan Kak Ani je. Tapi, faham-faham la bila hantu buku masuk kedai buku. Rambang mata. Semua buku teringin nak baca. Satu-satu buku saya selak, baca sikit. Banyak juga yang berkenan, teringin nak miliki kesemuanya. Fikir. Perlu rasional. Kadang-kadang kita nampak benda tu baik, tapi bila tidak berhati-hati, yang baik itu pun boleh mendatangkan keburukan. Jarum syaitan, kita takkan dapat nak menduganya.

Belek punya belek, hati rasa tertarik sangat dengan buku 'Pesanan Penting Untuk Wanita: Jangan Terpedaya' tulisan Muhammad Rasyid al-'Uwaid. Satu buku, cukup. Tak payah banyak-banyak. Lebih baik sikit, baca dan amal itu lebih penting. Alhamdulillah, Kak Ani tolong bayarkan. Jimat duit. Itu la untungnya keluar dengan kakak.

Ada satu cerita dari dalam buku ni yang saya nak kongsikan kat awak sempena Ramadhan Kareem yang bakal tiba tak lama lagi. Sangat seronok. Moga Allah lapangkan dada kita untuk memahami seadanya apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Bismillah hirrahma nirrahim.

Dalam sebuah pameran besar, ditampilkan berbagai jenis permata, mutiara, dan perhiasan yang diperbuat dari emas. Maka bertebaranlah kaum wanita mengunjunginya. Mereka kagum dan terpesona dengan keindahan aneka jenis permata dan perhiasan yang dipamerkan dalam ekspo itu. Mereka semua melihat kepada berbagai jenis rantai leher, gelang dan cincin yang menarik, dan membaca harga yang terpamer. Mungkin ada sebahagian daripada mereka yang berangan-angan untuk memiliki perhiasan-perhiasan tersebut.

Ketika kaum wanita dalam keadaan demikian, tiba-tiba pemilik pameran tersebut membuat pengumuman : "Wahai saudari-saudari pengunjung yang mulia, anda dipersilakan untuk memenuhkan beg tangan anda dengan perhiasan dan permata yang diminati dalam pameran ini secara percuma selama 30 minit!" Cuba bayangkan apa tindakan mereka. Saya yakin dan pasti belum sempat pengumuman tamat, mereka semua sudah mula berebut-rebut untuk mengambil barangan perhiasan tersebut. Bahkan mungkin ada yang sanggup bergaduh.

Itulah perumpamaannya bagi bulan Ramadhan. Sekiranya hati kita benar-benar berminat, benar-benar tertarik dengan tawaran selama 30 hari yang Allah bagi, sudah tentu, sebelum tiba Ramadhan lagi kita sudah mula bersiap. Sedangkan apalah sangat nilai permata dan perhiasan yang ditawarkan oleh pemilik pameran tersebut kita sudah berasak-asak berebut, inikan pula janji Dia yang Maha Memiliki, yang tawarannya berjuta-juta kali ganda lebih bernilai, bukankah kita sepatutnya lebih berusaha keras?

Okay, mungkin ada diantara kita yang tak berminat dengan permata dan perhiasan, seperti saya. Kalau macam tu, cuba bayangkan barang yang kita minat dan nak sangat-sangat. Mula-mula saya baca cerita di atas, saya tak rasa sangat apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Tetapi, bila saya bayangkan, pameran yang dimaksudkan di atas ialah pameran buku. Sungguh, sekiranya tawaran 30 minit itu benar-benar terjadi, saya pasti, saya takkan pulang dengan tangan kosong. Sekurang-kurangnya, 30 buku dalam genggaman.

30 minit terasa sekejap, tapi kalau kita gunakan setiap saat itu sebaik mungkin, pasti kita akan pulang dengan senyum lebar. Begitulah juga 30 hari sepanjang Ramadhan. Sekiranya kita gunakan setiap hari sebaik mungkin, taqwa bukanlah angan-angan kosong. Macam mana nak gunakan ia sebaik mungkin? Ia bermula dengan 'minat'. Adakah kita berminat dengan tawaran tersebut? Kalau tak minat, murah macam mana sekalipun, kita akan buat acuh tak acuh. Endah tak endah. Ada takpe, kalau tak ada pun takpe.

Ketahuilah, dalam bulan Ramadhan yang mulia, kita sebenarnya berada dalam sebuah pameran yang penuh dengan berbagai macam hal yang jauh lebih baik daripada emas, lebih utama dari rantai leher, lebih besar dari cincin, dan lebih berharga dari gelang apa pun. Maka, apakah kita akan mensia-siakan 30 hari tersebut tanpa ada usaha sama sekali untuk meraih pahala berlipat ganda, ganjaran yang melimpah, dan rahmat luas yang terkandung di dalamnya?

Diriwayatkan dari Abu Umamah dia berkata: "Saya pernah menghadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: "Perintahkanlah kepadaku suatu amal yang dapat memasukkan diriku ke dalam syurga." Rasulullah s.a.w menjawab: "Berpuasalah kamu, kerana sesungguhnya puasa itu tiada tandingannya." Selanjutnya aku datang lagi kepada Baginda s.a.w untuk kali keduanya dan baginda tetap bersabda: "Berpuasalah kamu."
[Hadis Riwayat Ahmad, Nasa'i, dan Hakim]

karnival ibadah

Salam 'alaik
Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...


Ya, karnival ibadah kembali lagi. Setahun hanya sekali. Sebulan, 30 hari. Alangkan yang setahun, 365 hari itu pun terasa sebentar, apatah lagi sebulan, 30 hari. Tapi yang istimewanya, ada satu malam tu yang nilainya sama dengan 1000 bulan. Subhanallah. Pemurahnya Allah. Memberi dan terus memberi, sedang kita, jarang sekali mensyukuri. Jom sama-sama kita gunakan kesempatan yang Allah bagi ini untuk menjadi hamba yang sebenar-benar hamba. Hamba Allah yang tulen. Moga Allah redha.

hadiah yang saya ingin kongsikan bersama

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Tadi baru terima email dari seorang sahabat tersayang. Saya rasa, hanya dia satu-satunya sahabat saya yang paling rajin hantar email dekat saya. Dan Allah izin, kerana kerajinan dia itu menyebabkan saya rajin check inbox. Alhamdulillah. Kalau tak mungkin sebulan sekali je kot saya check. Syukran ya ukhti. Ini puisi/sajak/kata-kata/syair dan yang seangkatan dengannya yang dia emailkan dekat saya. Ada sikit-sikit saya edit, kasi cantik sikit (^^,), jangan marah ek.

Bila Dia memberi nikmat kepadamu,
Dia sedang mengujimu..
Bila Dia memberi kesusahan kepadamu,
Dia sedang mengujimu..
Bila Dia mengujimu,
Dia sayangkn kamu..
Bila Dia sayangkn kamu,
Dia prihatin terhadapmu..
Maka sama ada kamu dalam kesusahan,
ataupun dalam nikmatNya,
janganlah sesekali kamu lupa padaNya..
Kerana Dia memberi bukan mengikut kehendakmu,
bukan jua mengikut kemampuanNya,
tetapi mengikut keperluanmu,
dan apa yang terbaik untukmu..
Kerana Dia lebih memahami dirimu....

Senantiasalah mengingatiNya..
Senantiasalah bersyukur kepadaNya..
Senantiasalah kembali kepadaNya..
Senantiasalah bertawakkal kepadaNya..
Semata-mata keranaNya....
Semoga Dia redha kepadamu dalam apa jua yang kamu lalui..
Semoga kamu juga redha denganNya dalam apa jua yang kamu lalui....

-jangan kate ni lirik lagu/ayat jiwang-
3.59 pm, 3 ogos 2010

tolong saya

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Banyak sangat yang Allah bagi kat saya kali ni. Banyak sangat-sangat. Dah la pemberian harian pun memang sedia banyak, tapi Dia yang Maha Pemurah masih sudi memberi lagi dan lagi. Yang sedia ada pun memang tak terhitung, apatah lagi bila ditambah dengan tambahan lain, lagi-lagi la tak terhitung. Subhanallah. Rasa malu sangat dengan Allah. Dosa banyak, tapi tanpa sedar kadang-kadang terasa sayang nak tinggalkan dosa tu. Lalai, jarang-jarang bersyukur, tapi Allah, masih sudi untuk memberi dan terus memberi.

Sungguh, saya sangat-sangat malu. Saya rasa macam nak heret je muka kat lantai. Segan sangat-sangat dah dengan Allah. Tapi, itu la, bila hati dikuasai nafsu, memang sangat-sangat susah untuk menahan diri dari melakukan perkara yang Allah tak suka, walaupun ketika itu iman saya cuba memujuk dengan menyebut nama Allah. Dan selalunya iman saya kalah. Sebab itu, saya sangat-sangat harap, sekiranya awak melihat saya melakukan apa yang Allah tak suka, tegurlah saya ketika itu juga.

Seandainya jawapan saya terhadap teguran awak, menyakitkan hati awak, saya minta maaf awal-awal. Kerana ketika itu hati saya dikuasai nafsu. Saya mohon sangat, tolonglah, tegur saya sehingga saya berhenti melakukan perkara tersebut ketika itu juga. Mungkin ia akan menyakitkan hati awak, mungkin itu akan menyebabkan saya benci awak, tapi tolong sangat-sangat, sayangilah saya kerana Allah. Tolong jangan biarkan saya terbakar di dalam neraka Allah.

Mungkin awak tak faham sebab awak tak alami apa yang saya alami. Saya tahu saya teruk, saya tak sehebat awak. Saya banyak dosa, hubungan saya dengan Allah tidak seteguh awak. Tapi kerana itula saya minta tolong sangat-sangat dengan awak. Tak perlu faham, cuma perlu buat sahaja. Kalau awak tegur saya selepas saya melakukan dosa tersebut, bagaimana saya mahu berubah? Sedangkan ketika itu, saya memang sudah menyesal. Cuma, ketika melakukan dosa tersebut, saya gagal untuk mengawal diri. Saya perlukan kekuatan untuk mengawal diri. Saya tahu, kekuatan itu datang dari Allah, tapi saya perlu berusaha. Dan antara usaha saya, saya perlu memaksa diri saya untuk berhenti melakukannya. Dan, saya perlukan bantuan awak untuk memaksa saya. Tolonglah saya.

Iman manusia biasa seperti kita, sudah sedia maklum, turun dan naik. Tak stabil. Sewaktu iman saya meningkat, mungkin saya mampu untuk melaksanakan tarbiyah dzatiyah, insya Allah. Tapi, ketika iman saya jatuh, saya sangat-sangat lemah, dan kebiasaannya, saya tak mampu untuk mentarbiyah diri saya sendiri. Seringkali gagal. Ketika itu la, saya sangat-sangat perlukan bantuan awak. Ketahuilah, Allah sedang menguji saya dan awak.

sila faham ye

Salam 'alaik

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Hahahahahaha. Saya sangat-sangat nak tergelak bila saya dapat tau, ada orang tersalah tafsir entry-entry saya yang sebelum ni terutama sekali bahagian yang berkaitan dengan 'berkasih sayang'. Saya selalu tulis, 'saya sayang awak'. Awak tahu ke tak sebenarnya siapa yang saya maksudkan ni? Ada ke saya tulis nama siapa-siapa kat entry saya selain nama 'awak'? Ye, A.W.A.K., okay. Selagi mana awak bukan seorang lelaki, jadi entry saya tu memang saya tujukan buat AWAK. Faham? Ke tak faham lagi?

Bila saya tulis awak, maknanya untuk awak la sayang oi. Awak yang tengah membaca tu. Tak payah awak susah-susah nak fikir, "Asmaa' ni tulis pasal si fulan binti si fulan la kot. Saja je dia taknak letak nama". Hello, kalau memang saya nak tujukan untuk seorang manusia sahaja, memang saya akan tulis la nama dia. Contohnya macam entry saya yang bertajuk, "keseronokan itu seronok". Saya tulis nama mereka yang terlibat. Jadi, bila saya tulis 'awak', maknanya memang untuk awak.

Kenapa? Tak percaya ke? Cuba la belajar untuk percaya. Kadang-kadang, perasaan 'perasan' tu perlu juga. Apa salahnya kita nak 'perasan' kalau perkara tu mendatangkan kebaikan. Saya pun selalu je perasan sorang-sorang, dengan harapan agar saya tidak tersungkur duduk tanpa keyakinan diri. Ada je sahabat-sahabat saya yang tulis entry terbuka dalam blog mereka, dan saya dengan sendirinya 'memerasankan' diri mengatakan bahawa tulisan mereka untuk saya. Kenapa saya buat begitu? Kerana saya mahukan secebis semangat. Biarla tulisan mereka itu sebenarnya mereka tak tujukan untuk saya pun, suka hati saya la saya nak 'terperasan' ke tak. Yang penting, ia tak menyusahkan mereka dan tidak merosakkan saya.

Contohnya tulisan sahabat saya Nur Farah Aisyah yang bertajuk "Demi Allah, jangan pernah berhenti!". Tulisannya berbentuk umum, dia tak sebut pun nama siapa-siapa, dan saya tahu, saya tidak layak sebenarnya untuk 'memerasankan' diri terhadap tulisannya ini. Namun, saya ambil tulisannya sebagai satu semangat baru untuk terus menulis. Jadi, apa salahnya kalau saya 'terperasan' kan?

Kesimpulannya, apa salahnya jika kadang-kadang kita 'memerasankan' diri untuk kebaikan diri kita sendiri. Bukan nak suruh bangga diri, tapi cukuplah sekadar pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan di bumi Allah ini. Okaylah, kalau cakap 'perasan' macam tak best lak, kalau gitu kita panggil 'positive thinking' ek. Tak pun, optimis. Boleh?