nilai
Friday, August 6, 2010 by peNer0ka keTenaNgan
Salam 'alaik
Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...
Tadi, Alhamdulillah berkesempatan untuk singgah di Kedai Buku Banggol sekejap. Niat asal bukannya nak beli buku pun, cuma nak tolong temankan Kak Ani je. Tapi, faham-faham la bila hantu buku masuk kedai buku. Rambang mata. Semua buku teringin nak baca. Satu-satu buku saya selak, baca sikit. Banyak juga yang berkenan, teringin nak miliki kesemuanya. Fikir. Perlu rasional. Kadang-kadang kita nampak benda tu baik, tapi bila tidak berhati-hati, yang baik itu pun boleh mendatangkan keburukan. Jarum syaitan, kita takkan dapat nak menduganya.
Belek punya belek, hati rasa tertarik sangat dengan buku 'Pesanan Penting Untuk Wanita: Jangan Terpedaya' tulisan Muhammad Rasyid al-'Uwaid. Satu buku, cukup. Tak payah banyak-banyak. Lebih baik sikit, baca dan amal itu lebih penting. Alhamdulillah, Kak Ani tolong bayarkan. Jimat duit. Itu la untungnya keluar dengan kakak.
Ada satu cerita dari dalam buku ni yang saya nak kongsikan kat awak sempena Ramadhan Kareem yang bakal tiba tak lama lagi. Sangat seronok. Moga Allah lapangkan dada kita untuk memahami seadanya apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Bismillah hirrahma nirrahim.
Dalam sebuah pameran besar, ditampilkan berbagai jenis permata, mutiara, dan perhiasan yang diperbuat dari emas. Maka bertebaranlah kaum wanita mengunjunginya. Mereka kagum dan terpesona dengan keindahan aneka jenis permata dan perhiasan yang dipamerkan dalam ekspo itu. Mereka semua melihat kepada berbagai jenis rantai leher, gelang dan cincin yang menarik, dan membaca harga yang terpamer. Mungkin ada sebahagian daripada mereka yang berangan-angan untuk memiliki perhiasan-perhiasan tersebut.
Ketika kaum wanita dalam keadaan demikian, tiba-tiba pemilik pameran tersebut membuat pengumuman : "Wahai saudari-saudari pengunjung yang mulia, anda dipersilakan untuk memenuhkan beg tangan anda dengan perhiasan dan permata yang diminati dalam pameran ini secara percuma selama 30 minit!" Cuba bayangkan apa tindakan mereka. Saya yakin dan pasti belum sempat pengumuman tamat, mereka semua sudah mula berebut-rebut untuk mengambil barangan perhiasan tersebut. Bahkan mungkin ada yang sanggup bergaduh.
Itulah perumpamaannya bagi bulan Ramadhan. Sekiranya hati kita benar-benar berminat, benar-benar tertarik dengan tawaran selama 30 hari yang Allah bagi, sudah tentu, sebelum tiba Ramadhan lagi kita sudah mula bersiap. Sedangkan apalah sangat nilai permata dan perhiasan yang ditawarkan oleh pemilik pameran tersebut kita sudah berasak-asak berebut, inikan pula janji Dia yang Maha Memiliki, yang tawarannya berjuta-juta kali ganda lebih bernilai, bukankah kita sepatutnya lebih berusaha keras?
Okay, mungkin ada diantara kita yang tak berminat dengan permata dan perhiasan, seperti saya. Kalau macam tu, cuba bayangkan barang yang kita minat dan nak sangat-sangat. Mula-mula saya baca cerita di atas, saya tak rasa sangat apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Tetapi, bila saya bayangkan, pameran yang dimaksudkan di atas ialah pameran buku. Sungguh, sekiranya tawaran 30 minit itu benar-benar terjadi, saya pasti, saya takkan pulang dengan tangan kosong. Sekurang-kurangnya, 30 buku dalam genggaman.
30 minit terasa sekejap, tapi kalau kita gunakan setiap saat itu sebaik mungkin, pasti kita akan pulang dengan senyum lebar. Begitulah juga 30 hari sepanjang Ramadhan. Sekiranya kita gunakan setiap hari sebaik mungkin, taqwa bukanlah angan-angan kosong. Macam mana nak gunakan ia sebaik mungkin? Ia bermula dengan 'minat'. Adakah kita berminat dengan tawaran tersebut? Kalau tak minat, murah macam mana sekalipun, kita akan buat acuh tak acuh. Endah tak endah. Ada takpe, kalau tak ada pun takpe.
Ketahuilah, dalam bulan Ramadhan yang mulia, kita sebenarnya berada dalam sebuah pameran yang penuh dengan berbagai macam hal yang jauh lebih baik daripada emas, lebih utama dari rantai leher, lebih besar dari cincin, dan lebih berharga dari gelang apa pun. Maka, apakah kita akan mensia-siakan 30 hari tersebut tanpa ada usaha sama sekali untuk meraih pahala berlipat ganda, ganjaran yang melimpah, dan rahmat luas yang terkandung di dalamnya?
Diriwayatkan dari Abu Umamah dia berkata: "Saya pernah menghadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: "Perintahkanlah kepadaku suatu amal yang dapat memasukkan diriku ke dalam syurga." Rasulullah s.a.w menjawab: "Berpuasalah kamu, kerana sesungguhnya puasa itu tiada tandingannya." Selanjutnya aku datang lagi kepada Baginda s.a.w untuk kali keduanya dan baginda tetap bersabda: "Berpuasalah kamu."
[Hadis Riwayat Ahmad, Nasa'i, dan Hakim]