Wednesday, September 15, 2010
by peNer0ka keTenaNgan
Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...
Susahnya. Sungguh, sangat berat. Bersederhana dalam setiap sudut. Untuk tidak melampaui batas dalam sesuatu. Sukar. Dulu saya keras, saya tak ambil peduli apa yang ada disekeliling, saya malas mahu kesah apa yang orang lain rasa, saya tak peduli apa orang kata, saya adalah saya. Hati saya keras. Airmata saya umpama berlian, tersimpan rapi dalam peti besi. Tiada siapa bisa melihatnya.
Sewaktu itu saya fikir, selagi apa yang saya pilih, Allah redha, ibubapa restu dan diri saya sendiri rela, saya akan tetap terus berdiri walau seisi dunia mencaci. Tetapi, rupa-rupanya saya melangkah secara kasar. Manusia-manusia yang ada disekeliling saya seperti tidak wujud. Saya terus melangkah tanpa mengambil berat siapa disebelah saya.
Apa sahaja yang menghalang laluan saya, saya akan hapuskan. Ramai manusia disekeliling yang saya langgar bahu mereka tanpa mengambil peduli keadaan mereka. Ada diantara mereka yang rebah ke tanah pabila berlaga bahu dengan saya. Saya abaikan sahaja tanpa cuba untuk membantu mereka bangkit kembali.
Mungkin ketika itu, saya tersilap tafsir erti redha Allah. Saya terlupa, selain hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia pun saya perlu jaga. Naifnya saya. Jiwa remaja saya yang terlampau bersemangat menyebabkan saya buta untuk melihat dan pekak untuk mendengar.
Berbuih mulut manusia lain marah-marah, membebel dengan saya, saya masih tetap dengan pendirian saya. Saya hanya diam membisu. Saya biarkan mereka berkata-kata. Mereka boleh memaksa telinga saya untuk mendengar, tetapi mereka tak boleh memaksa hati saya untuk menerima. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tak turun ke hati.
(Sampai tahap, kakak saya pernah menegur kakak saya yang lain yang ketika itu sedang membebel marahkan saya, "Dengan asmaa', membazir air liur je ko membebel. Dia bukan kesah pun. Cair taik telinga dia tu pun belum tentu dia layan. Last-last nanti, ko yang sakit tekak. Dia takde pape pun. Steady je.")
Sewaktu itu, pendirian saya sangat teguh. Tak mudah tuk goyah. Walau kadang-kadang pilihan saya menyakitkan hati ramai orang (tidak termasuk mak ayah ye). Tapi saya tak pernah ambil kesah. Yang pasti, saya tak mahu wujud perasaan menyesal dalam pilihan saya. Maka, saya akan pastikan bahawa setiap pilihan saya akan menjadi pilihan yang terbaik. Saya akan berusaha ke arah itu.
Itu dulu. Sekarang, bila saya mula mengenali, mula mengerti, perkataan dakwah dan tarbiyah, saya sedar, saya perlu berubah. Seandainya saya mahu terus berada di jalan dakwah dan tarbiyah, saya MESTI berubah. Saya perlu mengambil kesah keadaan mereka yang berada disekeliling saya. Kerana saya yakin, setiap seorang dari mereka yang hadir dalam hidup saya, ada fungsi masing-masing yang telah ditetapkan oleh Allah.
Saya perlu mendengar dengan teliti setiap teguran mereka kerana mungkin disebalik teguran-teguran itu ada sesuatu yang perlu saya belajar. Saya perlu peduli, perasaan manusia disekeliling saya kerana mereka adalah mad'u saya dan sebahagian dari mereka ialah da'ei saya. Seandainya saya abaikan hati dan perasaan mereka, apa mungkin untuk terbina jambatan hati antara kami?
Masalahnya sekarang, saya sukar untuk menyeimbangkan antara keras dan lembut, tetap pendirian dan bertolak ansur, mengambil peduli dan biarkan berdikari, percaya dan berhati-hati, tegas dan sayang, dan lain-lain lagi. Kadang-kadang, bila saya buat keputusan dalam keadaan saya cuba mendengar semua pendapat yang diutarakan, saya jadi keliru. Sebahagian hati saya berkeras untuk tetap dengan keputusan yang telah dibuat, sebahagian hati lagi mahu memilih jalan lain. Goyah.
Bila saya cuba mengambil berat mereka yang disekeliling saya, tanpa disedari saya terabai diri saya sendiri. Hingga kadang-kadang, saya rebah terduduk, baru tersedar. Ketika itu, sukarnya mahu berdiri kembali. Seperti mahu mengalah sahaja.
Keadaan saya sekarang, sangat tidak stabil. Saya masih belum mampu mengawal sepenuhnya hati saya. Saya masih belum jumpa laluan dipertengahan. Kadang-kadang ke kiri, kadang-kadang ke kanan. Terumbang-ambing.
Apa yang berlaku kini, menyedarkan saya. Saya hanya manusia lemah. Mahu mengawal diri sendiri pun terkial-kial. Sungguh cetek ilmu saya. Masih banyak perkara yang saya tidak tahu. Kerdilnya saya berbanding Dia yang Maha Mengetahui.
Saya perlu belajar untuk bersederhana. Sukar, tapi tak mustahil. Saya akan terus berusaha untuk mencari kesederhanaan dalam tiap langkah saya. Insya Allah.
Posted in:
|
|
|