dalam proses
Monday, July 19, 2010 by peNer0ka keTenaNgan
Salam 'alaik
Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Alhamdulillah...
Saya ingin berubah. Berubah menjadi lebih baik daripada semalam. Dan bila saya muhasabah diri, saya nampak banyak sangat perkara dalam diri saya yang perlu diubah supaya saya dapat menjadi hamba Allah yang tulen. Ya, hamba Allah semata-mata, tiada campuran lain. Bukan hamba nafsu, bukan hamba dunia, bukan hamba kerja, bukan hamba buku, bukan dan bukan.
Saya tahu, perubahan itu perlu dari hati dan perlu dibuktikan melalui tingkah laku. Banyak keadaan, hati saya meronta-ronta untuk melakukan perkara baik, tapi kesudahannya saya gagal untuk mengawal tingkah laku saya. Sikap saya yang paling banyak membawa ke arah kegagalan itu adalah sikap bertangguh. "Ah, takpela, jap lagi la aku buat.", "Ngadap laptop la dulu.", dan lain-lain. Susah nak kawal. Memang, untuk berubah itu sangat susah. Tapi saya perlu dan mesti berubah. Nak tak nak, saya kena paksa juga.
Antara banyak-banyak perkara yang saya nak ubah, yang paling menjadi keutamaan saya sekarang ni ialah berbakti kepada ibubapa. Saya ingin menjadi anak yang soleh, anak yang boleh menjadi saham kepada ibubapa saya di akhirat kelak. Saya tahu dan saya yakin janjiNya,
Hadith Nabi SAW:
إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث : صدقة جارية ,أو علم ينتفع به من بعده ,أو ولد صالح يدعو له
Ertinya : "Apabila mati anak adam, terputus semua amalannya kecuali tiga perkara : Sedeqah jariah, ilmunya yang dimanfaatkan orang selepas kematiannya, dan anaknya yang soleh yang mendoakannya"
Sejujurnya, selama ni saya tak pernah amik kesah keadaan rumah sebab memang saya tak kesah. Saya jenis manusia yang flexible. Allah izin, saya mampu untuk sesuaikan diri dalam semua keadaan. Awak tinggalkan la saya kat mana sekalipun, insya Allah saya mampu untuk sesuaikan diri. Tapi rupa-rupanya anugerah yang Allah bagi ini saya tersalah guna. Saya terikut telunjuk iblis tanpa saya sedar.
Saya jadi tak kesah dengan keadaan rumah yang tunggang-langgang. Dengan kain yang tak berlipat, saya tak kesah. Asal boleh hidup. Saya temehkan segala jenis perkara yang remeh. Saya terlupa bahawa Allah itu Maha Cantik dan sukakan kecantikan. Mesti awak terkejutkan. Ini lah saya kalau awak nak tahu.
Saya akan kemas rumah apabila disuruh atau dipaksa, bukannya secara sukarela. Kerja-kerja lain selain daripada 'mengemas' insya Allah saya akan buat. Saya selalu pesan kat sahabat-sahabat saya, "Awak bagi la kerja apa pun kat saya, insya Allah saya akan buat. Tapi janganlah suruh saya 'mengemas' sebab saya memang tak suka dan susah sangat-sangat nak buat".
Itu dulu. Sekarang saya nak berubah. Saya mahu menjadi seorang anak yang doanya diangkat oleh Allah (sila rujuk entry kultum (1)). Saya mahu berbakti kepada ibubapa saya. Jadi saya perlu mula dari sekarang. Sikit-sikit. Jangan mengharap untuk saya berubah secara mendadak.
Buat masa sekarang, inilah 'had' kekuatan saya untuk berubah. Meskipun masih banyak yang perlu saya ubah, tapi saya tak mampu untuk melakukan semuanya serentak. Saya tahu kemampuan saya, jadi saya akan buat mengikut kemampuan saya. Mungkin orang lain mampu untuk mengubah banyak perkara dalam satu masa. Tapi tidak untuk saya. Bak kata orang, ukur baju di badan sendiri.